saufi@mediaprima.com.my
PENGLEUAR perkakas pintar terkemuka, HONOR melancarkan peranti baharu dalam siri pertengahan mereka iaitu HONOR X9e Pro.
Model ‘Pro’ pertama bagi siri X9 ini tiba di pasaran tempatan dengan beberapa peningkatan yang agak ekstrem.
Langkah penawaran ini membuktikan fokus jenama berkenaan untuk terus mendominasi pasaran telefon pintar kelas pertengahan di peringkat tempatan.
Menyentuh spesifikasi HONOR X9e Pro, ia menggunakan cip Qualcomm Snapdragon 6 Gen 5 dengan binaan 4 nanometer yang dipadankan bersama keupayaan memori (RAM) 8GB.
Bagi aspek ketahanan, HONOR X9e Pro dibina khusus untuk menghadapi pelbagai cabaran dan situasi harian.
Peranti ini dilengkapi teknologi ketahanan impak HONOR Ultra-Bounce Anti-Drop 4.0 serta pensijilan kalis air dan debu tahap IP68/IP69K.
Ini bermakna telefon ini mampu bertahan daripada jatuh setinggi tiga meter serta rekahan pada bahagian skrin mahupun belakang peranti.
Situasi cuaca Malaysia yang panas dan kerap hujan, ketahanan kalis air peranti ini serta sokongan sentuhan basah (wet touch) amat membantu pengguna tempatan yang aktif menjalankan aktiviti di luar rumah.
Isu utama yang kerap menghantui pengguna telefon pintar ialah jangka hayat bateri, namun HONOR X9e Pro menyelesaikannya secara drastik.
Peranti ini dibekalkan dengan bateri berkapasiti gergasi 11,000mAh yang menggunakan teknologi Silicon-Carbon Battery 4.0.
Kapasiti ini membolehkan telefon beroperasi sehingga dua ke tiga hari untuk penggunaan biasa tanpa perlu kerap diisipadu.
Tambahan pula, ia disokong oleh pengecasan pantas 80W Wired SuperCharge dan mempunyai kebolehan bertahan dalam suhu ekstrem, suatu kelebihan ketara ketika cuaca terik di Malaysia.
Menyentuh aspek fotografi, HONOR X9e Pro dilengkapi sistem kamera utama 108MP yang menyokong penstabilan imej optikal (OIS) dan pemprosesan algoritma perisian terkini.
Lensa utama ini mampu menangkap butiran gambar yang sangat jelas dan tajam, sama ada dalam keadaan pencahayaan terang waktu siang mahupun suasana malam yang malap.
Kehadiran OIS amat membantu mengurangkan kesan gegaran semasa mengambil gambar secara mengejut atau ketika merakam video sambil berjalan, menjadikan hasil akhir kelihatan lebih profesional dan stabil.
Bagi pencipta kandungan dan peminat fotografi landskap, peranti ini turut menyertakan lensa sudut ultra-lebar 5MP serta pelbagai mod fotografi berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Fungsi AI secara automatik mengesan subjek dan menyesuaikan warna serta pencahayaan mengikut persekitaran, membolehkan gambar kelihatan hidup tanpa perlu disunting semula.
Ditambah pula dengan sokongan rakaman video format 4K, pengguna boleh merakam detik-detik penting dengan kualiti resolusi tinggi yang sangat memuaskan untuk dikongsi ke media sosial.
Secara keseluruhannya, HONOR X9e Pro adalah peranti yang praktikal, tahan lasak, dan amat berbaloi.
Fokus yang diberikan kepada binaan kukuh, paparan AMOLED 120Hz yang terang, serta jangka hayat bateri yang sangat panjang menjadikannya pilihan padu bagi pekerja luar, pengembara, mahupun pengguna harian di Malaysia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




