am@hmetro.com.my
Kuantan: Polis membantu memindahkan tujuh individu, termasuk seorang ibu mengandung dan kanak-kanak perempuan yang terjejas selepas jambatan runtuh di Jalan Kampung Sungai Mok, Kuala Rompin, Rompin hari ini.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi, berkata mereka yang berusia antara 11 dan 55 tahun dipindahkan dengan bantuan tiga anggota dari Balai Polis Kuala Rompin.
Katanya, operasi itu membabitkan tujuh individu iaitu dua lelaki dan tiga wanita dewasa serta masing-masing seorang ibu mengandung dan kanak-kanak perempuan.
“Mangsa yang lebih berisiko terutama ibu mengandung dan kanak-kanak dipindahkan terlebih dahulu bagi memudahkan urusan mendapatkan rawatan hospital dan keperluan lain.
“Semua mangsa yang dipindahkan menetap di rumah saudara mara masing-masing.
“Ibu mengandung dijangka bersalin pada bila-bila masa kerana tarikh jangkaan pada 7 Januari ini.
“Jika tidak dipindahkan lebih awal dijangka akan menjadi kesukaran kepada pasukan penyelamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Difahamkan, jambatan kecil yang menghubungkan Kampung Selendang dan Kampung Sungai Mok itu runtuh kira-kira 8 pagi, hari ini.
Dianggarkan kira-kira 750 penduduk yang terjejas tetapi memilih untuk menetap di rumah masing-masing.
Mereka akan menggunakan jalan tanah merah melalui jalan ladang ke Kampung Denai-Tanjung Gemok yang mengambil masa kira-kira sejam.
Sementara tu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Rompin menerusi hantaran di Facebook rasmi hari ini memaklumkan Jalan Kampung Sungai Mok, Rompin ditutup kepada semua kenderaan susulan jambatan runtuh.
Sebarang pertanyaan boleh menghubungi JKR Rompin di talian 09-4145040.
© New Straits Times Press (M) Bhd




