Kebakaran di bar Switzerland: Mangsa melecur, patah tulang

Kebakaran di bar Switzerland: Mangsa melecur, patah tulang

Sion, Switzerland: Ketua hospital yang menerima mangsa kebakaran ngeri di sebuah bar pusat peranginan ski Switzerland mendedahkan mangsa bukan sahaja melecur malah turut mengalami patah tulang.

Pengarah Urusan Hospital di wilayah Wallis, Eric Bonvin berkata, kecederaan itu berlaku apabila orang ramai bergelut dan merempuh antara satu sama lain bagi menyelamatkan diri.

Beliau berkata, berdasarkan keadaan mangsa, kemungkinan terdapat individu yang dihimpit serta mengalami sesak nafas akibat panik melampau.

Katanya, sebahagian mangsa turut tercedera ketika nekad membantu menyelamatkan orang lain yang terperangkap dalam kebakaran itu.

Seramai 40 orang disahkan maut, manakala 119 lagi cedera dalam kebakaran di bar Le Constellation di Crans-Montana pada awal pagi Khamis lalu.

Tragedi ketika mangsa menyambut ketibaan Tahun Baharu sebelum bar itu dijilat api dalam masa yang singkat.

Bonvin berkata, 55 mangsa yang parah dikejarkan ke Hospital Sion dalam tempoh beberapa jam selepas kebakaran bermula.

“Terdapat kecederaan patah tulang serta luka-luka dalam kalangan mangsa yang tiba di hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Ini termasuk golongan muda yang secara intensif membantu mengeluarkan mangsa lain dari tempat kejadian,” katanya kepada AFP.

Menurutnya, kecederaan akibat rempuhan dan sesak nafas memang dijangka berlaku dalam situasi panik apabila mangsa dilihat jatuh dari tangga ketika cuba keluar.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa siasatan lanjut oleh pihak berkuasa akan menentukan punca sebenar kematian semua mangsa di bar berkenaan.

Sehingga kini, 11 pesakit masih dirawat di Hospital Sion, manakala 28 lagi dipindahkan ke hospital lain di Switzerland serta luar negara untuk rawatan lanjut.

Empat pesakit dilaporkan masih berada di unit rawatan rapi, manakala beberapa lagi perlu menjalani pembedahan akibat kecederaan kompleks serta kesan terhidu asap.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top