Kuala Lumpur: Pelumba berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri meletakkan misi memperbaharui catatan masa peribadi terbaik terutama dalam acara 1 kilometer (km) ujian masa sebagai keutamaan pada Sukan Komanwel Glasgow 2026, bulan ini.
Nurul Izzah berkata, fokus utama bukan semata-mata untuk memenangi pingat pertamanya di Sukan Komanwel, sebaliknya menampilkan kayuhan terbaik dan memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti dalam beberapa kejohanan terdahulu.
Beliau yang memenangi pingat perak 1km ujian masa pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia di Filipina, Mac lepas berkata, persiapannya berada pada landasan positif dengan latihan ketika ini memberi tumpuan kepada aspek khusus seperti kelajuan menjelang temasya sukan empat tahun sekali itu.
“Saya fokus kepada PB (catatan peribadi terbaik) dulu, pingat datang selepas itu. Kalau kita buat yang terbaik, insya-Allah ia akan datang bersama pingat.
“Jadi bagi saya, memang saya nak buat yang terbaik untuk pecahkan PB.
“Ketika ini PB flying (pecut) 10.5 saat (s) jadi saya sasar untuk capai masa di bawah 10s dan untuk acara 1 km ujian masa, saya ingin cuba lakukan di bawah 1 minit 6s,” katanya yang bakal membuat penampilan kedua selepas edisi 2022 di Birmingham, England
Nurul Izzah berkata demikian ketika ditemui pada sesi lawatan Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Komanwel Glasgow 2026, Datuk Awalan Abdul Aziz ke venue latihan skuad berbasikal trek kebangsaan di Velodrom Nasional di Nilai, semalam.
Pada masa sama, pelumba berusia 22 tahun itu yang turut akan beraksi dalam acara pecut dan keirin berkata, antara aspek yang mahu diperbaiki ialah taktikal kayuhan, keberanian, kekuatan mental dan keupayaan menggunakan tenaga dengan lebih bijak ketika perlumbaan.
Atlet kelahiran Sungai Petani, Kedah itu berkata, kawalan garisan dan kebijaksanaan mengatur tenaga turut penting terutama dalam usaha menghasilkan kayuhan yang lebih konsisten.
Mengulas persaingan di Glasgow pula, Nurul Izzah menjangkakan cabaran sengit daripada pelumba England dan Wales yang dilihat antara pencabar utama dalam acara disertainya.
Selain Nurul Izzah, turut bakal menggalas cabaran Malaysia di Glasgow adalah Nur Alyssa Mohd Farid serta tiga pelumba lelaki diketuai Datuk Mohd Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan New Joe Lau.
Glasgow 2026 dijadual berlangsung dari 23 Julai hingga 2 Ogos ini akan mempertandingkan 10 jenis sukan termasuk olahraga, renang, berbasikal trek, boling padang, tinju, judo dan angkat berat, selain enam sukan para yang dipertandingkan secara bersepadu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




