am@hmetro.com.my
Nilai: Suspek utama yang dikaitkan dengan kejadian letupan membabitkan bahan letupan buatan sendiri (IED) pada 22 Disember lalu dipercayai menghasilkan peranti berkenaan kerana perasaan dendam.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, daripada soal siasat yang dijalankan terhadap suspek, warga emas itu dikatakan berdendam dengan bekas teman wanitanya.
“Buat masa ini pihak kami masih lagi menjalankan soal siasat terhadap suspek kerana kesihatannya tidak mengizinkan dan masih dirawat, namun dalam keadaan stabil.
“Berdasarkan soal siasat, suspek mengaku menghasilkan IED berkenaan kerana berdendam dengan bekas teman wanitanya. Mereka dikatakan berpisah sejak lima tahun lalu,” katanya ketika dihubung, hari ini.
Beliau berkata, dalam masa sama keterangan suspek juga tidak konsisten memandangkan keadaan kesihatannya selain beberapa elemen siasatan lain sukar diperolehi.
“Bagaimanapun, berdasarkan keterangan saksi iaitu jiran kepada suspek mengatakan warga emas ini memang menghadapi kemurungan akibat berpisah dengan teman wanita.
“Suspek sering bercerita kepada saksi mengenai teman wanitanya. Keterangan ini mengukuhkan pengakuan suspek mengenai dendam ke atas bekas kekasihnya,” katanya.
Justeru itu, kata beliau, pihaknya membuat permohonan untuk menyambung reman terhadap lelaki itu hari ini bagi melengkapkan siasatan sebelum diserahkan kepada pihak pendakwaan.
“Permohonan sambung reman ke atas suspek dibacakan di hadapan Majistret Sara Afiqah Zulkipli bertempat di Wad 3B, Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini, hari ini.
“Permohonan sambung reman dibenarkan selama tujuh hari bermula esok sehingga hingga 10 Januari depan,” katanya.
Media pada 29 Disember lalu melaporkan suspek berusia 62 tahun itu ditemui dalam keadaan lemah dengan kesan melecur pada muka, tangan dan kaki di kawasan hutan dekat Batang Benar, Nilai, 27 Disember.
Lelaki itu dikatakan bersembunyi di hutan sejak kejadian letupan sebelum ditemui orang awam yang sedang mencari hasil hutan.
Penahanan suspek turut membawa kepada penemuan sebuah motosikal serta beberapa lagi peranti IED bersamanya.
Dalam kejadian 22 Disember lalu, satu letupan berlaku di dalam sebuah kereta ketika suspek dipercayai sedang mengalihkan peranti berkenaan sebelum dia melarikan diri.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 4 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berjadual 1958 serta Seksyen 435 Kanun Keseksaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




