AS serang Caracas, Venezuela diisytihar darurat

AS serang Caracas, Venezuela diisytihar darurat

Washington: Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan ke atas Venezuela ketika letupan menggegarkan ibu negara Caracas, susulan ancaman berbulan-bulan oleh Presiden Donald Trump terhadap Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, kata seorang pegawai AS.

Kerajaan Venezuela menyatakan serangan turut berlaku di negeri Miranda, Aragua dan La Guaira, yang memaksa Maduro mengisytiharkan darurat nasional dan menggerakkan pasukan pertahanan.

Letupan, pesawat dan asap hitam dapat dilihat di seluruh Caracas bermula kira-kira jam 2 pagi selama kira-kira 90 minit, menurut saksi Reuters dan imej yang tular di media sosial.

Di beberapa lokasi di bandar itu, penduduk meluahkan rasa terkejut dan takut sambil merakam video asap tebal serta kilatan cahaya jingga di langit.

“Sayangku, oh tidak, lihat itu,” kata seorang wanita dalam rakaman video sambil tercengang melihat letupan dari jauh.

Gangguan bekalan elektrik menjejaskan kawasan selatan bandar itu, berhampiran pangkalan tentera utama, kata saksi.

Trump berulang kali menjanjikan operasi darat di negara pengeluar minyak Amerika Selatan itu, yang dipimpin oleh Maduro sejak 2013.

AS, pembangkang Venezuela dan beberapa negara lain mendakwa Maduro memanipulasi pilihan raya tahun lalu untuk terus berkuasa.

Trump tidak memperincikan matlamatnya secara terbuka tetapi secara peribadi mendesak Maduro untuk melarikan diri dari negara itu. Katanya pada Isnin, adalah ‘bijak’ bagi Maduro untuk melepaskan kuasa.

Pentagon merujuk soalan itu kepada Rumah Putih, namun mereka enggan memberikan komen.

Kerajaan Venezuela dalam satu kenyataan berkata, matlamat serangan itu adalah supaya AS dapat merampas minyak dan mineral negara itu.

Katanya, AS tidak ‘akan berjaya’ mengambil sumber berkenaan.

AS melakukan pembangunan ketenteraan besar-besaran di rantau itu, termasuk menempatkan kapal pengangkut pesawat, kapal perang dan jet pejuang canggih di Caribbean.

Trump mengusahakan ‘sekatan’ terhadap minyak Venezuela, memperluas sekatan terhadap kerajaan Maduro dan melakukan lebih daripada dua dozen serangan ke atas kapal yang didakwa AS terbabit dalam penyeludupan dadah di Lautan Pasifik dan Laut Caribbean.

Minggu lalu, Trump berkata AS menyerang satu kawasan di Venezuela yang didakwa digunakan untuk memuatkan bot membawa dadah, menandakan operasi darat pertama Washington di negara itu sejak kempen tekanan bermula.

Beliau tidak menyatakan sama ada serangan itu dilakukan oleh Agensi Perisikan Pusat (CIA) atau tidak. Agensi media lain melaporkan agensi perisikan itu adalah dalang di sebaliknya.

Trump menuduh Venezuela membanjiri AS dengan dadah, manakala pentadbirannya sejak beberapa bulan lalu mengebom bot yang didakwa membawa bahan terlarang itu.

Banyak negara mengecam serangan berkenaan sebagai pembunuhan di luar proses undang-undang, sementara kerajaan Maduro sentiasa menafikan sebarang pembabitan dalam aktiviti penyeludupan dadah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top