Regragui ingatkan Maghribi jangan perlekeh Tanzania

Regragui ingatkan Maghribi jangan perlekeh Tanzania

Rabat: Ketua jurulatih Maghribi, Walid Regragui memberi amaran kepada pasukannya supaya kekal merendah diri apabila tuan rumah itu menghadapi pusingan 16 terakhir Piala Negara-Negara Afrika (Afcon) menentang Tanzania, yang dianggap sebagai pasukan pilihan utama.

“Kita perlu bersikap rendah hati. Bagi kami di Maghribi, untuk barisan kejurulatih dan pemain, ia harus menjadi Afcon yang penuh dengan kerendahan hati,” kata Regragui kepada wartawan, hari ini, sehari sebelum perlawanan di Stadium Prince Moulay Abdellah, ibu kota Rabat.

“Semua orang berkata jika Maghribi tidak menjuarai Afcon, ia dianggap gagal, jika kita tidak menang dengan mudah, ia juga kegagalan.

“Tugas saya adalah memastikan semua orang kekal berpijak di bumi nyata dan mengingatkan bahawa kita belum menjuarai Afcon sejak 50 tahun lalu,” katanya lagi.

Maghribi adalah pasukan terkemuka Afrika dalam ranking Fifa di tangga ke-11, dan sebagai pasukan yang layak beraksi sehingga separuh akhir Piala Dunia 2022, mereka berada di bawah tekanan untuk memanfaatkan kelebihan beraksidi gelanggang sendiri bagi memenangi Piala Negara-Negara buat kali pertama sejak 1976.

Kekalahan kepada Tanzania, yang menduduki ranking ke-112 dunia, akan dianggap kejutan besar.

Tanzania mempunyai dua kelab terkemuka Afrika, Simba dan Young Africans, yang kedua-duanya pernah mara ke final Piala Konfederasi CAF.

Namun, pasukan kebangsaan mereka berjaya melangkah ke peringkat kalah mati Afcon buat pertama kali pada edisi kali ini, walaupun masih belum memenangi sebarang perlawanan di kejohanan itu.

“Kita perlu menghormati Tanzania, kerana mereka sering layak ke kejohanan ini, mempunyai dua kelab besar dan sedang membangunkan pemain muda.

“Saya sentiasa ulangi bahawa tiada lawan yang mudah. Kita bermain di halaman sendiri, di hadapan hampir 68,000 penyokong, tetapi ini adalah perlawanan kalah mati dan apa sahaja boleh berlaku dalam perlawanan sebegini,” kata Regragui.

Tanzania, yang akan menjadi tuan rumah bersama Piala Negara-Negara 2027 bersama jiran Afrika Timur, Kenya dan Uganda, mara ke 16 terakhir sebagai salah satu pasukan terbaik yang menduduki tempat ketiga dalam peringkat kumpulan.

Mereka tewas tipis kepada Nigeria sebelum seri dengan Uganda dan Tunisia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top