Bekas penyerang TFC musnahkan impian tuan rumah

Bekas penyerang TFC musnahkan impian tuan rumah

sukan@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Bekas penyerang Terengganu (TFC), Tchetche Kipre musnahkan impian tuan rumah pada aksi pertama pusingan kedua Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, sebentar tadi.

Kipre yang pernah membantu TFC mara ke pentas final Piala Malaysia pada 2018 meledak dua gol untuk membantu pasukannya, Penang FC melakar kemenangan 2-0.

Jaringan pertama diperoleh selepas pemain kelahiran Ivory Coast itu bijak menyambar bola hasil kesilapan penjaga gol, Syed Nasrulhaq Syed Bidin pada minit ke-69 sebelum mudah memperdaya penjaga gol untuk jaringan kedua pada minit ke-89.

Terdahulu aksi hambar yang disajikan kedua-dua pasukan menyaksikan perlawanan pada babak pertama berakhir tanpa jaringan.

Pelawat yang berhasrat untuk membalas dendam tewas pada pusingan pertama 0-3 hampir mengejutkan tuan rumah melalui tandukan Danilo Sipovac pada minit ke-13 yang hanya sedikit melepasi palang gol.

Tuan rumah yang ‘kehilangan’ khidmat ketua jurulatihnya, Badrul Afzan Razali yang direhatkan hampir menceriakan lebih 1,000 peminat setia pada minit ke-29, namun tandukan Careca tersasar di sebelah kiri pintu gol skuad Harimau Kumbang.

Skuad pelawat kendalian Wan Rohaimi Wan Ismail berpeluang untuk mendahului perlawanan selepas Jose Porteria bijak meloloskan diri hasil umpanan Kipre pada minit ke-42, tapi penjaga gol, Syed Nasrulhaq Syed Bidin berjaya menutup ruang menyelamatkan percubaan pemain itu.

Sedar TFC beraksi bagaikan tiada ‘arkitek’, pemangku ketua jurulatih, Tengku Hazman Raja Hassan mengeluarkan Baqiuddin Shamsudin dan memasukkan Junior Sam pada permulaan babak kedua, namun masih buntu menembusi gawang pelawat.

Sebaliknya kesilapan penjaga gol TFC yang menyepak bola yang terkena kaki Kipre memudahkan bekas penyerang TFC itu meledak gol pertama perlawanan pada minit ke-69 untuk pasukannya mendahului 1-0.

Ketika perlawanan menuju minit ke-89, Kipre sekali lagi muncul watak pemusnah apabila mudah memperdaya Syed Nasrulhaq untuk meledak gol kedua peribadi sebelum pasukannya menang 2-0.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top