harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seorang lelaki ditahan bersama empat ekor anak buaya tembaga dianggarkan bernilai RM240,000 dalam serbuan Ops Bersepadu Khazanah (OBK) di sekitar Johor Bahru, di Johor, kelmarin.
Komander Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP), Senior Asisten Komisioner Rosli Md Yusof berkata, pemeriksaan di dalam but kereta dipandu suspek yang juga seorang lelaki tempatan itu menemui haiwan spesis dilindungi berkenaan dalam sebuah kotak polisterin.
Menurutnya, serbuan itu dijalankan Unit Risik PSP Bukit Aman secara bersepadu bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).
“Serbuan dijalankan hasil maklumat awam membawa kepada penemuan empat ekor anak buaya tembaga, iaitu spesies hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
“Pemeriksaan lanjut mendapati haiwan terbabit disimpan tanpa sebarang permit atau kebenaran sah daripada pihak berkuasa berkaitan,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sumber dan tujuan suspek menyimpan haiwan liar berkenaan.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 68, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) iaitu kesalahan menyimpan hidupan liar tanpa permit khas.
Rosli berkata, keseluruhannya nilai rampasan dianggarkan RM285,000 iaitu RM240,000 bagi empat ekor anak buaya berkenaan dan RM45,000 bagi kereta dipandu suspek.
“Suspek ditahan bagi membantu siasatan dan kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis sementara pihak PERHILITAN Negeri Johor melengkapkan kertas siasatan.
“Ops OBK membuktikan keberkesanan kerjasama antara agensi penguatkuasaan dalam membanteras aktiviti penyeludupan dan pemilikan hidupan liar secara haram.
“Usaha penguatkuasaan bersepadu akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan khazanah biodiversiti negara terus terpelihara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




