Pakar perubatan rugi lebih setengah juta ditipu sindiket pelaburan berkaitan wang kripto

Pakar perubatan rugi lebih setengah juta ditipu sindiket pelaburan berkaitan wang kripto

am@hmetro.com.my

Ipoh: Pakar perubatan kerugian lebih RM529,000 akibat ditipu sindiket pelaburan tidak wujud berkaitan mata wang kripto selain turut ditipu dengan sindiket menawarkan pemulihan kerugian akibat ditipu, melalui media sosial.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, laporan daripada mangsa iaitu lelaki berusia 67 tahun itu diterima oleh pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, pada Jumaat.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa mula terjebak apabila menerima pautan berkaitan pelaburan daripada kenalan di aplikasi TikTok pada hujung September lalu, sebelum membuat beberapa pemindahan wang berjumlah RM320,000 ke pelbagai akaun bank berdaftar atas nama syarikat.

Menurutnya, lelaki itu bagaimanapun gagal mengeluarkan keuntungan yang dijanjikan hingga mendorongnya berhubung dengan sebuah entiti bernama International Justice Malaysia (IJM) menerusi Facebook.

Katanya, mangsa kemudiannya berhubung dengan seorang lelaki yang mengaku sebagai peguam dari entiti IJM itu sebelum diminta membuat pelbagai bayaran tambahan berjumlah RM209,200.

“Tidak lama selepas gagal mengeluarkan keuntungan pelaburan, mangsa terbaca mengenai sebuah entiti yang dikenali sebagai IJM di Facebook yang kononnya boleh bantu menyelesaikan masalah penipuan.

“Akibat daripada urusan itu, mangsa sekali lagi kerugian RM209,200, menjadikam jumlah keseluruhan kerugian yang dialami oleh mangsa berjumlah RM529,200,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Noor Hisam berkata, mangsa yang mula ragu-ragu dan hilang kepercayaan terhadap kesahihan urusan itu kemudiannya membuat laporan polis, dengan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu kerana menipu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top