Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan sebanyak RM22 juta bagi membolehkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dilengkapi dengan senjata api serta kelengkapan keselamatan yang bersesuaian untuk memperkukuh operasi kawalan sempadan negara.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kelulusan itu diberikan susulan keperluan mendesak untuk meningkatkan tahap keselamatan anggota AKPS selepas insiden tembakan terhadap kenderaan seorang komander agensi itu di Bukit Kayu Hitam, Kedah pada Februari lalu.

“Susulan insiden itu, saya menulis kepada Perdana Menteri tentang keperluan untuk AKPS dilengkapkan dengan persenjataan yang diperlukan dan Perdana Menteri memberi kelulusan serta-merta dengan peruntukan RM22 juta untuk keperluan melengkapkan AKPS dengan senjata yang difikirkan munasabah, sesuai dengan tugasan mereka di sempadan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berhubung kekangan pegawai AKPS yang tidak dibekalkan peralatan keselamatan seperti senjata api dan jaket kalis peluru ketika menjalankan tugas.
Menurut Saifuddin Nasution, walaupun AKPS menghimpunkan pegawai daripada pelbagai agensi termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hanya segmen tertentu mempunyai kemahiran mengendalikan senjata api seperti anggota polis.
Mengulas aspek integriti, beliau yakin penubuhan AKPS mampu mengurangkan kerenah birokrasi serta risiko rasuah yang sebelum ini wujud apabila urusan kawalan sempadan melibatkan lebih 20 agensi berasingan.
“Kalau kawalan sempadan membabitkan 20 lebih agensi, prosesnya jadi satu demi satu, tetapi kalau tinggal satu saja agensi yang namanya AKPS, kita boleh mengurangkan kerenah birokrasi dan mampu menjadi formula yang paling baik bagi mengurangkan kerenah ataupun tarikan kepada isu-isu rasuah yang terkait dengan integriti,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa AKPS telah mencatat beberapa kejayaan penting dalam tahun pertama operasinya termasuk rampasan dadah bernilai puluhan juta ringgit di Lapangan Terbang Pulau Pinang serta membanteras aktiviti penyeludupan e-waste menerusi kerjasama pelbagai agensi berkaitan.
Sementara itu, menjawab soalan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna), Saifuddin Nasution memberi jaminan bahawa penubuhan AKPS tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan hak Sabah serta Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan terus dihormati.

Artikel lain: PDRM sokong Shuhaily terajui AKPS, perkukuh kawalan sempadan negara
Katanya, perkara itu telah diperjelaskan dan dipersetujui sebelum AKPS dibentangkan serta diluluskan di Parlimen, sekali gus menunjukkan isu berkenaan kini lebih tertumpu kepada aspek pelaksanaan dan operasi.
Menurut beliau, AKPS diwujudkan bagi memperkemas pergerakan orang dan barangan di pintu masuk negara, meningkatkan integriti, menambah hasil negara serta memperkukuh keselamatan sempadan.
Beliau turut menegaskan bahawa model kerjasama bersepadu seperti Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) membuktikan gabungan pelbagai agensi di bawah satu sistem operasi mampu memperkukuh keselamatan negara secara lebih berkesan.
Sumber: Harian Metro




