Putrajaya: Biarpun sedang berdepan detik sukar menanti khabar mengenai bapa yang hilang dalam tragedi di Nepal, seorang waris mangsa memilih untuk kekal tenang dan rasional, selain menghargai komitmen berterusan kerajaan Malaysia.
Mohd Firas Shabuddin, 24, yang juga seorang jurutera berkata dia amat berpuas hati dengan usaha menyeluruh pihak kementerian dalam mengendalikan krisis berkenaan.
“Kenalah rasional, kalau kita biar emosi menguasai diri, perkara tidak akan selesai. Biar kementerian buat kerja mereka, dan tugas saya sekarang hanyalah berdoa dan bertawakal,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Bapanya Shabuddin Mun, merupakan antara 10 rakyat Malaysia dalam kumpulan dikenali Team Loe yang dalam perjalanan menuju Everest Base Camp (EBC).
Turut berada dalam kumpulan itu ialah anggota pasukan khas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa, 44, yang masih belum ditemukan.
Mengulas mengenai sesi taklimat di Wisma Putra hari ini, Mohd Firas berkata ia merupakan satu platform penyelarasan maklumat yang baik bagi memastikan semua waris mendapat fakta tepat.
Dalam taklimat tertutup itu, Mohd Firas berkata Kementerian Luar menasihati waris supaya tidak ke Nepal buat masa ini berikutan ketiadaan akses ke lokasi kejadian selain sebarang kemas kini status harian akan dimaklumkan menerusi kumpulan aplikasi WhatsApp khas.
Beliau berkata keluarga turut dinasihatkan untuk merujuk sumber sahih seperti Wisma Putra, agensi berita Bernama dan laman web rasmi polis Nepal, selain waris digalakkan menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen bermula esok.
“Itu adalah satu langkah yang sangat baik. Sama ada hidup atau sebaliknya, sekurang-kurangnya kementerian sedang mengambil pelbagai tindakan untuk membantu kami,” kata Mohd Firas mengulas mengenai saranan ujian DNA tersebut.
Sementara itu, anak kepada Mohd Padzil Darus, Muhammad Ashraf, 33, berkata bapanya yang berusia 63 tahun turut bersama menyertai ekspedisi mendaki Team Loe yang terdiri daripada sembilan rakyat Malaysia dan seorang warga Nepal.
“Keluarga kami bersetuju menjalani proses pengambilan sampel DNA berikutan keadaan mangsa yang masih tidak diketahui,” katanya.
Muhammad Ashraf berkata kali terakhir dia menerima khabar daripada bapanya kira-kira sejam sebelum tragedi berkenaan, menerusi sekeping gambar yang memaparkan keadaan dan pemandangan di lokasi ekspedisi.
Selain menunggu perkembangan lanjut, Muhammad Ashraf berkata keluarganya turut mengadakan solat hajat dan doa bersama-sama ahli kariah serta rakan-rakan bagi memohon agar bapanya dan anggota kumpulan berkenaan ditemukan dalam keadaan selamat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




