Dua penghuni PUSPEN Dengkil lolos ditangkap semula

harisfadli@hmetro.com.my

Sepang: Dua penghuni yang melarikan diri daripada Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Dengkil baru-baru ini berjaya ditangkap semula.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh memaklumkan kedua-dua lelaki terbabit berjaya ditahan secara berasingan pada Jumaat dan Sabtu.

“Kedua-duanya dibawa ke Puspen Dengkil semula dan dalam masa terdekat mereka akan dibawa ke mahkamah untuk tindakan perundangan,” katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, hantaran dan gambar dua lelaki dipercayai tahanan Puspen Dengkil didakwa melarikan diri dikongsikan tular di media sosial.

Hantaran berkenaan memaklumkan, kedua-dua individu itu dipercayai melarikan diri menggunakan sebuah kenderaan curi Nissan Frontier bernombor pendaftaran WMK 1809.

Susulan itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang Superintendan Mior Mohd Nor Azuan Alias dilapor berkata, kejadian dipercayai berlaku, kira-kira 8.40 pagi pada Khamis.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top