lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Lebih 1.1 juta peniaga perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bakal menerima manfaat dalam bentuk pengecualian daripada melaksana e-Invois.
Ia susulan keputusan kerajaan yang bersetuju untuk menaikkan nilai ambang pelaksanaan e-Invois daripada RM1 juta kepada RM3 juta, berkuat kuasa 1 September ini.
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berkata, dengan kenaikan nilai ambang itu, PMKS dengan pendapatan atau jualan tahunan kurang daripada RM3 juta tidak diwajibkan untuk melaksanakan e-Invois.
“Ikhtiar Kerajaan MADANI ini mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam meringankan beban pematuhan dan kos yang ditanggung oleh PMKS.
“Di samping itu, ikhtiar ini memberi ruang kepada golongan peniaga untuk terus memberi tumpuan kepada kelangsungan dan pengembangan perniagaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut LHDN, sejak pelaksanaan e-Invois pada 1 Ogos 2024, sebanyak 265,379 pembayar cukai sudah mengemukakan e-Invois membabitkan pengeluaran lebih 1.84 bilion e-Invois.
LHDN bagaimanapun berkata, kerajaan amat menggalakkan PMKS menyertai pelaksanaan e-Invois secara sukarela selaras dengan aspirasi negara ke arah pendigitalan operasi perniagaan.
“LHDN akan terus membantu PMKS melalui aktiviti pendidikan, program bimbingan serta sesi libat urus secara berterusan bagi memastikan pelaksanaan e-Invois berjalan lancar.
“Ini termasuk panduan dan tutorial penggunaan Portal MyInvois, aplikasi MyInvois dan MyInvois e-POS bagi meningkatkan kesedaran serta kefahaman mengenai pelaksanaan e-Invois dalam kalangan PMKS,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
