Pasukan SMART siap sedia dihantar ke Nepal bantu operasi SAR

harisfadli@hmetro.com.my

​Kuala Lumpur: Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) sedang bersiap sedia untuk dihantar ke Nepal bagi misi kemanusiaan susulan bencana di negara itu.

​Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan berkata, pasukan SMART berada dalam keadaan siap siaga untuk diatur gerak bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR).

​”NADMA melaksanakan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung keputusan Kerajaan Madani mengatur gerak pasukan SMART ke Nepal bagi membantu operasi SAR susulan bencana banjir yang melanda negara berkenaan.

​”Bagaimanapun, pergerakan pasukan masih tertakluk kepada keperluan dan keputusan rasmi Kerajaan Nepal bagi menerima kemasukan bantuan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

​Menurut kenyataan itu, urusan penyelarasan antara kerajaan diuruskan bersama pihak Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra).

​Katanya, kesiapsiagaan pasukan SMART mencerminkan komitmen tinggi Malaysia dalam membantu masyarakat termasuk komuniti antarabangsa yang terjejas akibat bencana.

​Terdahulu, Harian Metro melaporkan kerajaan memutuskan untuk menggerakkan pasukan SMART ke Nepal bagi membantu operasi SAR susulan bencana banjir yang melanda negara itu.

​Perdana Menteri dilapor berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan NADMA serta Wisma Putra dipertanggungjawabkan menyelaras dengan kerajaan Nepal bagi membolehkan pasukan berkenaan digerakkan secepat mungkin.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top