mohamadridzuan@hmetro.com.my
Biarpun terdapat pelbagai acara dan konsert lain pada hujung minggu, ia tidak menggugat keghairahan peminat untuk menyaksikan showcase Jiwa Malaysia 2025 di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, baru-baru ini.
Strategi penganjur, Regnant Works ?menampilkan barisan artis iaitu Sixth Sense, Def Gab C, Kugiran Masdo, Floor 88, Baby Shima, dan Alpha nyata menjadi apabila menyaksikan kehadiran peminat.
Menyatukan pelbagai genre iaitu hard rock (Def Gab C), pop rock (Sixth Sense & Floor 88), retro indie (Masdo), dangdut (Baby Shima) serta boy band (Alpha) dikira satu ramuan unik dan berani.
Showcase ini secara terang-terangan dianjurkan untuk meraikan kepelbagaian muzik Malaysia menerusi genre yang dekat dengan peminat golongan kebanyakan.
Alpha sebagai adik paling bongsu ditampilkan sebagai pembuka pentas. Aura mereka tidak dapat dinafikan apabila peminat dikenali sebagai Alphanite mula bergerak ke bahagian depan pentas sebaik hos menyebut nama kumpulan itu.
Tiga lagu yang dinyanyikan mereka iaitu Monalisa, Bujang dan lagu viral P Ramlee/Saloma sudah cukup menggembirakan peminat pada malam itu.
Masdo tampil sebagai artis kedua dengan menyampaikan enam lagu iaitu Begini Jadinya, Jani Manis, Teruna & Dara, Dinda, Malam Pesta Rock N Roll dan Bercanda Di Malam Indah.
Ada pro dan kontranya apabila band popular seperti mereka diletakkan pada giliran awal persembahan. Perkara positifnya ialah mereka dapat membawa ‘hype’ buat peminat.
Kumpulan Floor 88 kemudian mengambil alih pentas sebagai artis ketiga pada malam itu menerusi tiga lagu iaitu Original Sabahan, Hutang dan Kongkalikong.
Mereka yang sudah berpengalaman luas di pentas, tidak mempunyai masalah untuk menguasai penonton.
Bagaimanapun, faktor kesuntukan masa tidak membolehkan mereka banyak berkomunikasi dengan penonton.
Baby Shima yang ibarat penyeri showcase pada malam itu tampil menerusi empat lagu iaitu Island boi, Pap Pap, Stecu dan Emang Dasar.
Persembahannya yang menyajikan rentak dangdut bertenaga berjaya menghidupkan suasana malam.Kemunculan kumpulan ?Def Gab C membawa peminat bernostalgia dengan lagu-lagu siulan suatu ketika lalu seperti Ibu Kota Cinta, Ampunkan Aku, Cinta Sakti dan Merah.
Mereka turut menyanyikan lagu Let Down yang dipopularkan oleh Radiohead.
Sixth Sense yang bertindak sebagai kumpulan penutup acara tidak kurang hebat apabila menyampaikan lagu Tanpa, Yang Sempurnakanku, Khatimah Cinta, Tak Bisa Memilihmu, Menyesal serta Hari Ini dan Semalam.
Apa yang disajikan cukup memberikan kepuasan dan meninggalkan momen indah buat semua peminat yang hadir.
© New Straits Times Press (M) Bhd
