harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tindakan akan dikenakan ke atas pengguna media sosial yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk memanipulasi gambar menjadi imej tidak senonoh, termasuk di platform X.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berkata, tindakan boleh diambil berdasarkan peruntukan sedia ada, selain penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) terhadap pengendali.
“SKMM mengambil maklum dan memandang serius aduan awam berhubung penyalahgunaan alat AI di platform X dan menegaskan penghasilan atau penyebaran kandungan berkenaan (manipulasi imej wanita dan kanak-kanak) merupakan kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM).
“Antaranya, ia melarang penyalahgunaan perkhidmatan rangkaian atau aplikasi untuk menghantar kandungan yang berunsur jelik melampau, lucah atau sumbang.
“SKMM akan memulakan siasatan terhadap pengguna X yang disyaki melanggar AKM 1998,” kata kenyataan itu.
SKMM berkata, dengan penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA), penyedia platform berlesen dikehendaki mengambil langkah bagi mencegah penyebaran kandungan memudaratkan.
Menurutnya, walaupun X bukan penyedia platform media sosial berlesen buat masa ini, pengendali itu tetap perlu mematuhi piawaian keselamatan dalam talian di Malaysia dan bertanggungjawab mencegah penyebaran kandungan memudaratkan.
“SKMM menggesa semua platform yang boleh diakses di Malaysia supaya melaksanakan langkah perlindungan selaras dengan undang-undang Malaysia dan piawaian keselamatan dalam talian, khususnya berkaitan fungsi AI, chatbot dan aplikasi manipulasi imej.
“Pengguna internet dan mangsa dinasihatkan untuk melaporkan kandungan memudaratkan kepada platform berkaitan serta membuat laporan kepada pihak polis dan SKMM,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




