Pemuda maut, remaja tidak sedarkan diri kereta terjunam dalam parit 2 meter

Pemuda maut, remaja tidak sedarkan diri kereta terjunam dalam parit 2 meter

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Pemuda maut, manakala seorang remaja tidak sedarkan diri selepas kereta dinaiki terbabas dan terjunam ke dalam parit di Jalan Bendang, Parit 4, Sungai Besar, Sabak Bernam hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 5.48 petang.

Beliau berkata, sepasukan tujuh anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besar dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Menurut laporan awal, kemalangan membabitkan sebuah kereta Proton Wira yang masuk ke dalam parit sedalam kira-kira dua meter.

“Seorang mangsa pertama iaitu remaja lelaki berusia 15 tahun berjaya dinaikkan orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya ketika dihubungi.

Ahmad Mukhlis berkata, mangsa kedua iaitu pemuda berusia 20 tahun ditemui di perangkap sampah pada jarak 150 meter dari lokasi kejadian.

“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) pada jam 7.10 malam,” katanya.

Katanya, mangsa pertama dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top