Rahsia Gelap Keluarga Elit Terbongkar Dalam ‘Susuk Rupawan’, Hantui Slot Samarinda TV3 Bermula 7 Januari

Rahsia Gelap Keluarga Elit Terbongkar Dalam ‘Susuk Rupawan’, Hantui Slot Samarinda TV3 Bermula 7 Januari

Apabila dendam lama terus dipupuk, kecantikan mampu menjadi senjata yang paling menakutkan. Susuk Rupawan, sebuah drama thriller sarat misteri dan pembalasan, bakal menemui penonton mulai 7 Januari 2026, setiap Isnin hingga Khamis, 10.00 malam menerusi slot Samarinda TV3.

Drama arahan Amor Rizan ini menampilkan Cahaya Nilam sebagai Dewi, selain dibintangi Adam Lee, Darien Aeldra, Shah Rezza dan Watie Sada. Diterbitkan oleh Global Stations dengan skrip hasil nukilan Liza Nur, Susuk Rupawan mengadun elemen suspens dan mistik untuk membawa penonton menyelami dunia dendam, kecantikan terlarang serta rahsia hitam yang perlahan-lahan memusnahkan sebuah keluarga elit.

Kisah bermula apabila Dewi (Cahaya Nilam), penari tradisional berusia 20-an dari Johor, berhijrah ke Kuala Lumpur dengan satu agenda tersembunyi iaitu membalas dendam. Dia menyewa di rumah milik arwah Adli dan mula mendekati Fadil (Darien Aeldra). Hubungan itu kemudian digunakan sebagai laluan untuk merapati Zakri (Adam Lee), cucu kepada Tan Sri Halim (Shah Rezza), tokoh korporat berpengaruh yang pernah merogolnya suatu ketika dahulu. Di sebalik wajah lembut dan pesona Dewi, tersimpan niat yang penuh perhitungan.

Ketegangan semakin memuncak apabila Dewi berpindah tinggal bersama Fadil, Tan Sri Halim dan Mala (Watie Sadali), lalu kejadian-kejadian aneh mula berlaku di rumah tersebut. Kehadiran Dewi menjadi pencetus konflik yang mengeruhkan hubungan keluarga kaya itu, sehinggalah rahsia silam terbongkar bahawa Dewi sebenarnya ialah Nazimah, mangsa rogol Tan Sri Halim yang kembali dengan wajah muda hasil amalan ilmu hitam serta pemakaian susuk.

Apabila Fadil akhirnya mengetahui kebenaran pahit yang membongkar sisi gelap Dewi, dia cuba menyelamatkan keluarganya daripada terus tenggelam. Namun, semuanya seakan sudah terlambat apabila tragedi demi tragedi mula menimpa. Persoalannya, adakah dosa lama boleh dipadam atau dendam akan terus hidup walau jasad sudah tiada?

Adam Lee yang membawakan watak Zakri berkata peranannya menuntut komitmen tinggi kerana perlu memaparkan pergolakan emosi yang kompleks.

“Watak ini memaksa saya tonjolkan pertarungan jiwa antara keluarga, cinta dan dendam yang mempengaruhi setiap keputusan. Set penggambaran memang tegang dan emosional, tapi pada masa sama sangat seronok sebab dapat bekerjasama dengan Cahaya Nilam dan Darien Aeldra yang hebat. Saya berharap penonton dapat rasa intensiti dan emosi yang kami cuba hidupkan dalam drama ini,” katanya.

Mengangkat elemen thriller, mistik dan pembalasan, Susuk Rupawan bukan sekadar kisah dendam seorang wanita, sebaliknya peringatan tentang harga yang perlu dibayar apabila kezaliman dibiarkan berakar. Dengan penceritaan mendebarkan, visual suram yang simbolik serta lagu tema “Sang Pelaku” nyanyian Ameerais & Mariam, drama ini dijangka memberikan pengalaman tontonan yang menghantui fikiran.

Jangan lepaskan peluang menyaksikan Susuk Rupawan bermula 7 Januari 2026, setiap Isnin hingga Khamis, 10 malam di slot Samarinda TV3. Penonton juga boleh menonton episod baharu 24 jam lebih awal menerusi www.tonton.com.my atau aplikasi Tonton di Google Play dan App Store.

Scroll to Top