Selangor masih buntu atasi badi JDT, kali ini tewas 0-2

Selangor masih buntu atasi badi JDT, kali ini tewas 0-2

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Selangor FC masih buntu mencari ramuan tepat untuk menundukkan Johor Darul Ta’zim apabila sekali lagi kecundang, kali ini tewas 0-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, sebentar tadi.

Kekalahan itu menyaksikan JDT meneruskan penguasaan mutlak mereka ke atas pasukan Merah Kuning sambil melakar kemenangan ke-13 berturut-turut dalam saingan liga musim ini.

Keputusan berkenaan turut meleburkan rekod tanpa kalah Selangor selepas tujuh perlawanan, sekali gus mengesahkan status skuad Harimau Selatan sebagai pasukan paling dominan dalam kancah bola sepak tempatan.

Sebagai rekod, kali terakhir Selangor menewaskan JDT dalam saingan Liga Super adalah pada 2017 menerusi kemenangan 2-1, namun jurang kualiti antara kedua-dua pasukan terus ketara sejak itu.

Selangor turut terlepas peluang untuk memberi tekanan kepada Kuching City FC dan KL City FC apabila kekal menghuni tangga keempat liga, tiga mata di belakang dua pencabar terbabit.

JDT membuka tirai jaringan seawal minit keenam apabila percubaan Nacho Mendez tertanduk oleh Richmond Ankrah ke gawang sendiri, sekali gus menewaskan penjaga gol Selangor, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi.

Walaupun ketinggalan, disiplin pertahanan Selangor berjaya mengekang asakan berterusan JDT, malah mereka hampir menyamakan kedudukan menerusi serangan balas pantas Chrigor Moraes yang diselamatkan Ahmad Syihan Hazmi pada minit ke-16.

Kesilapan Ankrah sekali lagi hampir mengundang padah pada minit ke-22 apabila hantaran ke belakangnya dipintas Jairo da Silva, namun ketangkasan Kalamullah memastikan Selangor tidak dihukum dengan jaringan kedua lebih awal.

Penjaga gol Selangor itu terus menjadi benteng terakhir apabila cemerlang menepis rembatan deras Oscar Arribas pada minit ke-41 untuk memastikan kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Dominasi JDT berterusan pada babak kedua sebelum pemain gantian, Bergson da Silva mematikan sisa kebangkitan Selangor dengan jaringan kedua pada hujung perlawanan, sekali gus mengesahkan tiga mata milik Harimau Selatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top