am@hmetro.com.my
Sungai Petani: Kedai menjual telefon bimbit di daerah ini dipecah masuk menyebabkan pelbagai jenis telefon bimbit berjenama dilarikan.
Kejadian itu disedari pemiliknya pada 4 pagi hari ini dan mendakwa pengawal keselamatan yang menjaga premis itu turut diugut dengan parang.
Berdasarkan maklumat pemilik premis itu yang tular di media sosial hari ini mendakwa, pihaknya menggunakan khidmat pengawal keselamatan untuk menjaga premis itu sejak 2020.
Katanya, pencuri terbabit dipercayai memecahkan pintu premis itu sebelum melarikan pelbagai jenis telefon bimbit berjenama mahal.
“Selain itu, telefon bimbit pengawal keselamatan itu turut dilarikan namun tiada wang yang sempat dibawa lari dan hanya bersepah di lantai, ” kata pemilik premis itu melalui Facebook (FB) hari ini.
Berikutan itu, mereka membuat laporan polis untuk memaklumkan kejadian itu dan menyerahkan segala siasatan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Hanyan Ramlan mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
Beliau berkata, kejadian itu membabitkan tiga suspek lelaki bertopeng dan kerugian dialami mangsa dianggarkan berjumlah RM20,000.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih dijalankan berhubung kes ini, ” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd
