Suami Intan Najwa menang kes saman terhadap Rizman Ruzaini, tuntut RM1.3 juta

Suami Intan Najwa menang kes saman terhadap Rizman Ruzaini, tuntut RM1.3 juta

Kuala Lumpur: Pelakon, Datin Intan Najuwa mengejutkan ramai apabila mendedahkan suaminya, Datuk Ahmad Azraf Azman, memenangi kes saman terhadap jenama fesyen tersohor, Rizman Ruzaini membabitkan tuntutan bayaran semula pinjaman berjumlah RM1.3 juta.

Pendedahan itu dibuat Intan menerusi laman Instagram miliknya dengan memuat naik dokumen penghakiman daripada Mahkamah Tinggi di sini, selepas hampir tiga tahun memilih untuk berdiam diri bagi menghormati proses undang-undang.

“Selepas hampir tiga tahun memilih untuk berdiam diri, suami dan saya kini tampil secara terbuka berdasarkan keputusan mahkamah yang sudah diputuskan.

“Kenyataan ini dibuat khusus bagi menyeru Pereka Fesyen Rizman Ruzaini untuk melaksanakan pembayaran semula pinjaman seperti yang diarahkan oleh Mahkamah melalui penghakiman yang memihak kepada kami,” katanya.

Menurut pelakon drama Kekasih Paksa Rela itu lagi, kenyataan berkenaan dibuat secara berfakta dan berhemah selaras dengan keputusan undang-undang yang sah.

Berdasarkan dokumen yang dimuat naik itu, mahkamah merekodkan Penghakiman Terus yang memihak kepada Ahmad Azraf selaku plaintif terhadap tiga defendan iaitu Rizman Ruzaini Creations (M) Sdn Bhd, Rizman Nordin dan Wan Mohd Ruzaini Wan Jamil.

Menerusi perintah mahkamah bertarikh 16 Disember 2025 itu, pihak defendan diarahkan untuk melunaskan tiga perkara.

Pertama, melunaskan bayaran berjumlah RM1.3 juta kepada plaintif pada atau sebelum 15 Januari 2026.

Kedua, membayar kadar faedah lima peratus ke atas jumlah baki bermula 16 Januari 2026 sehingga penyelesaian penuh dilakukan.

Ketiga, membayar kos mahkamah sebanyak RM15,000 secara serta-merta kepada plaintif.

Setakat ini, pihak Rizman Ruzaini masih belum mengeluarkan sebarang maklum balas atau kenyataan rasmi berhubung pendedahan berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top