am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi, Linda Rafar, 47, mendakwa menjadi mangsa penganiayaan sekumpulan individu bergelar Datuk hingga mengalami kerugian hampir RM1 juta.
Linda atau pemilik nama Azlinda Abdul Rafar berkongsi, sepatutnya dia menerima keuntungan daripada perniagaan yang dijalankan dengan sekumpulan Datuk bermula September lalu, namun sehingga kini dia tidak memperolehi apa-apa keuntungan pun.
“Sebenarnya perkara ini dah berlaku sejak enam bulan lalu. Saya kenal mereka melalui orang ketiga. Disebabkan mereka dikenali, saya percaya untuk bekerjasama dengan mereka.
“Saya dah pasang niat dan berjanji, kalau duit itu masuk, saya mahu sedekahkan kepada pihak yang sepatutnya. Macam-macam saya rancang nak buat untuk bantu orang susah. Memang itu niat saya kalau ada keuntungan,” katanya kepada Harian Metro.
Tambah Linda, dia tidak pernah mempercayai seseorang sehingga tahap sebegini dan sanggup mengeluarkan semua duit yang ada yang hampir bernilai RM1 juta.
“Saya ada bukti gambar dan video penyerahan wang dan semuanya diserahkan secara tunai. Saya merayu kepada mereka untuk bayar sikit-sikit sebab saya dah berjanji dengan ramai orang.
“Bila tak dapat tunaikan janji, saya rasa sangat sedih kerana tak mampu tanggung ujian seberat ini. Saya hampir berputus asa, tapi nasib baik saya masih ada iman dan sokongan keluarga yang buatkan saya terus kuat sampai hari ini,” katanya lagi.
Linda turut berkongsi bahawa dia bakal mengadakan solat hajat dan bacaan yassin selama tiga malam berturut-turut bermula hari ini agar urusannya itu dapat diselesaikan dengan baik.
Terdahulu, menerusi hantarannya di Threads, semalam, Linda memberi amaran kepada sekumpulan individu yang bergelar Datuk agar segera menghubunginya untuk menyelesaikan masalah ini.
“Linda tahu kuasa viral di media sosial sangat laju di zaman ini. Linda hanya mahu bagi amaran kepada kumpulan individu yang tergolong dalam golongan Dato yang telah aniaya Linda sehingga Linda mempercayai mereka dan serahkan wang yang bernilai hampir satu juta ringgit.
“Linda tak mahu viralkan dahulu wajah-wajah mereka, tetapi Linda harap dengan hantaran ini mereka hubungi Linda segera. Jangan makan duit haram bagi anak bini makan ya. Seksa di akhirat amat pedih,” tulisnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




