'Nampak mayat atas jalan, tetapi tidak menyangka itu anak saya' – Bapa penuntut UniSZA

'Nampak mayat atas jalan, tetapi tidak menyangka itu anak saya' –  Bapa penuntut UniSZA

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: “Saya nampak mayat di atas jalan raya tetapi tidak menyangka itu anak saya,” kata Mazli Yusoh, 51, bapa kepada penuntut UniSZA, Syakirah Hanan, 25, yang maut dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Kemajuan, Bukit Kecil berhampiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), di sini, hari ini.

Mazli berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan untuk menyelesaikan urusan di Kuala Berang dan melalui lokasi kemalangan serta sempat melihat mayat yang dipayungi di atas jalan raya.

Katanya, dia langsung tidak menyangka mayat yang sudah ditutupi kain putih itu anaknya sehinggalah menerima panggilan telefon daripada pegawai JPJ, memaklumkan kereta didaftarkan atas namanya terbabit kemalangan.

“Ketika itu, saya sudah berada di Kampung Tapu, Kuala Berang dan segera patah balik ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan itu,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, malam ini.

Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra, Besut itu berkata, anak kedua daripada tujuh beradik itu dalam perjalanan ke Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) untuk urusan praktikal (latihan mengajar) pada Mac nanti.

“Malam tadi dia menghubungi saya beritahu mahu ke Perpustakaan Awam Negeri sebelum ke JPNT.

“Pagi tadi saya kebetulan ada urusan di Kuala Terengganu dan sempat bertemu arwah ketika singgah di rumah di Kampung Kuala Bekah yang kini diduduki arwah,” katanya yang tinggal di Jertih, Besut.

Menurutnya, dia reda menerima ketentuan Ilahi namun pemergian anaknya sangat mengejutkan apatah lagi, Syakirah rapat dengannya.

“Dia sangat rapat dan manja dengan saya dan apa sahaja perkara sama ada berkaitan pengajian atau urusan kerja, dia akan mengadu kepada saya.

“Walau perit dan sedih sekalipun, sebagai orang Islam kita terima takdir yang sudah ditentukan, semua orang akan mati, cuma cara kematiannya sahaja berbeza.

“Dia pergi dalam keadaan itu (kemalangan) dan sudah tentu kematian sebegitu ia mati syahid,” katanya.

Mazli turut terkilan apabila hasrat anaknya untuk mengikut jejaknya menjadi pendidik tidak kesampaian.

Menurutnya, arwah sangat meminati dunia pendidikan selepas tamat pengajian Ijazah Sarjana Muda Syariah di Universiti Al Azhar, Mesir tahun lalu sebelum menyambung pengajian di UniSZA pada April lalu.

Menurut Mazli, jenazah anaknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kuala Bekah pada 11 malam selepas bedah siasat selesai.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top