Izati buktikan masalah penglihatan bukan penghalang jadi pengacara

Izati buktikan masalah penglihatan bukan penghalang jadi pengacara

razis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Kelunakan suaranya yang lantang ketika mengacarakan majlis berjaya memukau pengunjung yang hadir pada Majlis Sambutan Hari Braille Sedunia 2026 di sini, hari ini.

Noor Izati Meor Samsudin, 37, membuktikan masalah penglihatan yang dihadapi sejak lahir bukan penghalang untuk bergiat aktif dalam bidang pengacaraan.

Anak jati Kuala Kangsar, Perak itu berkata, minat terhadap bidang itu tercetus ketika masih menuntut di universiti.

Katanya, pada mulanya dia dicabar oleh rakan sekampus untuk mencuba menjadi pengacara majlis ketika terbabit dalam penganjuran program universiti.

“Ketika itu mereka bergurau dan mencabar saya menjadi MC (pengacara majlis).

“Saya sahut cabaran itu kerana saya fikir, jika peranan lain seperti ‘usher’ (petugas penyambut tetamu) agak terbatas dari segi pergerakan, pengacaraan adalah ruang terbaik untuk saya menyumbang,” katanya.

Noor Izati berkata, sejak itu dia mula menerima tugasan kecil-kecilan sebagai pengacara majlis di universiti dan mendapati bidang berkenaan sesuai dengan kemahiran komunikasi yang dimilikinya.

“Kini, ketika bertugas sebagai editor Braille di Persatuan Orang Buta Malaysia, saya meneruskan minat ini dengan mengacarakan majlis anjuran persatuan. Saya juga pernah mengacarakan beberapa majlis anjuran syarikat swasta,” katanya.

Menurutnya, pada peringkat awal penglibatan dalam pengacaraan, dia banyak bergantung kepada teknik hafalan serta bantuan pembantu di sisi.

“Kaedah ini sebenarnya lebih sesuai untuk majlis santai, namun agak berisiko bagi majlis formal yang membabitkan banyak butiran teknikal, nama VIP serta perubahan saat akhir.

“Kini saya menggunakan Braille elektronik berharga RM12,000 yang dibeli secara ansuran bagi menggantikan kaedah penulisan Braille tradisional di atas kertas. Dengan peranti ini, skrip boleh disimpan dalam kad memori dan dipindahkan daripada komputer atau telefon pintar,” katanya.

“Mengimbau pengalaman yang tidak boleh dilupakan, dia pernah berdepan situasi cemas ketika mengacarakan majlis membabitkan seorang timbalan menteri apabila berlaku kekeliruan pergerakan VIP akibat menerima maklumat yang tidak tepat.

“Ketika itu saya sudah menjemput VIP untuk berdiri sedangkan beliau masih belum berada di tempat duduk. Ia menjadi pengajaran besar supaya saya tidak terlalu bergantung kepada orang lain.

“Sejak insiden itu, saya lebih peka menggunakan pendengaran sebagai sokongan tambahan, termasuk mengenal pasti kedudukan VIP berdasarkan bunyi pergerakan dan susun atur dewan,” katanya.

Noor Izati berkata, dia turut menghadiri kursus pengacaraan bagi meningkatkan mutu suara, sebutan, intonasi dan kawalan tempo ketika mengendalikan majlis untuk melengkapkan diri bagi menjadi pengacara yang baik.

“Biarpun sudah lama dalam bidang ini, saya tetap lakukan persediaan rapi sebelum majlis berlangsung termasuk mendapatkan senarai VIP, memahami aliran majlis, melakukan latihan serta menyediakan skrip yang berbeza bagi setiap acara,” katanya yang lebih selesa mengacarakan majlis formal.

Dia turut berkongsi nasihat kepada individu cacat penglihatan yang berminat menceburi bidang pengacaraan agar berani mencuba dan tidak gentar melakukan kesilapan.

“Setiap kesalahan yang dilakukan perlu dijadikan ruang pembelajaran untuk terus memperbaiki diri dan melangkah lebih jauh,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top