Patuhi sempadan ditetapkan jika tidak mahu berdepan risiko

Patuhi sempadan ditetapkan jika tidak mahu berdepan risiko

syafil.syazwan@hmetro.com.my

SIRI 3

MOHD Nasrul Faiz Abu Azal atau Faizdickie bukan sekadar pempengaruh biasa, malah dianggap sebagai antara ‘otai’ dalam dunia penciptaan kandungan di Malaysia.

Watak-watak seperti Sarabanon dan Kak Leha pernah menceriakan hari-hari netizen, namun di sebalik tawa yang dibawa, tersimpan satu sisi perjuangan yang jarang diceritakan.

Meniti arus populariti yang tidak pernah sunyi daripada kontroversi, Faizdickie mengakui bahawa landskap media sosial kini sudah jauh berubah. Jika dahulu dia bebas berkarya, kini ‘pagar’ sensitiviti dilihat semakin mengecil sehingga ada ketikanya menyekat kreativiti pencipta kandungan.

Menurut Faiz, tahap sensitiviti dalam media sosial sebenarnya bersifat dinamik.

“Ada masanya ia melandai dan ada kalanya ia melonjak tinggi. Bagi saya, status seorang pempengaruh itu sendiri yang menentukan sejauh mana mereka boleh ‘bermain’ dengan kandungan yang dihasilkan.

“Waktu kita baru bermula dan orang belum kenal, kita boleh buat apa sahaja termasuk menyentuh isu yang agak tabu. Namun, bila nama semakin dikenali, skop kreativiti itu secara automatik akan mengecil. Tak semua benda kita boleh buat sebab risiko untuk mengguris hati pihak lain itu sentiasa ada,” katanya.

Ujar Faiz lagi, menjadi pempengaruh di Malaysia mempunyai cabaran unik yang tidak dialami oleh pencipta kandungan luar negara. Selain perlu peka dengan isu 3R (Agama, Bangsa, Diraja), mereka juga berdepan dengan ‘penapis budaya’ yang sangat ketat.

“Mengenai 3R dan sensitiviti yang tidak boleh disentuh, kita semua sedia maklum dan perlu sentiasa peka sendiri. Bagaimanapun, dalam perkara lain, ada pihak yang sebenarnya bukan peka, tetapi memandai-mandai.

“Semua benda nak dianggap sensitif sehingga ia menyekat kreativiti. Walaupun penonton sekarang lebih bijak, kewujudan kelompok yang sengaja mencetuskan isu ini membuatkan kerjaya sebagai pempengaruh di sini agak sukar,” katanya.

Salah satu watak ikonik ciptaan Faiz yang kini sudah tidak lagi kelihatan adalah ‘Nurse Puaka’. Ramai peminat tertanya-tanya ke mana hilangnya watak jururawat yang menghiburkan itu. Rupa-rupanya, ada kisah pahit di sebaliknya yang membabitkan ancaman tindakan undang-undang.

Faiz mendedahkan bahawa dia pernah diugut untuk disaman dan dilaporkan kepada kementerian berkaitan gara-gara watak itu. Pihak tertentu mendakwa watak Nurse Puaka tidak menghormati pakaian seragam jururawat.

“Saya bukan jenis yang suka cari pasal. Apabila isu itu timbul, saya sendiri meminta penjelasan daripada Persatuan Jururawat. Rupa-rupanya, memang ada peraturan mengenai penggunaan pakaian itu yang tidak boleh dipakai sebarangan untuk kandungan video.

“Walaupun kalau kita lihat di TikTok sekarang, ramai sahaja jururawat sebenar yang buat video menggunakan uniform, saya tetap memilih untuk berhenti walaupun niat asal saya, bukan untuk memburukkan profesion itu secara keseluruhan,” katanya.

Sikapnya yang lebih memilih untuk ‘hidup tenang’ berbanding bertegang urat di mahkamah membuatkan dia akur dan menamatkan riwayat watak popular itu demi menghormati sensitiviti pihak berkenaan.

Di sebalik wajah ceria dalam video, Faiz sebenarnya menyimpan rasa kurang yakin terhadap diri sendiri. Kecaman netizen mengenai fizikalnya adalah antara perkara yang paling sukar untuk ditelan.

Malah, dia pernah mengalami fasa gelap sehingga terpaksa ‘menghilang’ dari radar media sosial selama enam bulan.

“Kecaman yang paling teruk saya terima adalah berkaitan fizikal. Saya memang kurang keyakinan diri, jadi bila orang kutuk gemuk atau hina rupa paras, kesannya sangat dalam. Ia membuatkan saya rasa tidak cukup bagus untuk terus berkarya,” katanya.

Namun, seiring dengan kematangan, Faiz kini lebih bijak mengawal emosi. Baginya, butang ‘block’ adalah senjata terbaik untuk menjaga kesihatan mental daripada toksik media sosial.

Sebagai pempengaruh senior, Faiz sering menjadi tempat rujukan buat pencipta kandungan generasi baharu atau ‘TikToker’ yang ingin menempa nama. Walaupun tidak lokek berkongsi ilmu, dia sempat menitipkan pesanan mengenai etika dan literasi media.

“Ada yang datang bertanya cara buat video dan tip untuk kekal relevan. Saya kongsikan sahaja. Namun, ada juga yang bila sudah berjaya, terus senyap dan ‘lupa diri’.

“Ada juga yang segan nak mengaku mereka meminati karya saya, sebaliknya memberi alasan kononnya ibu atau kakak mereka yang minat,” katanya.

Tambah Faiz, pempengaruh sekarang perlu mempunyai literasi media yang tinggi dan tidak hanya mengejar ‘engagement’ semata-mata dengan memuat naik kandungan kontroversi.

“Ada yang sengaja buat kandungan tak elok sebab tahu ia akan tular. Itu pilihan masing-masing. Bagi saya, fasa mengejar populariti sebegitu sudah berlalu.

“Sekarang, apa yang saya mahukan hanyalah ketenangan dan melakukan apa yang saya suka tanpa perlu pening kepala dengan kecaman melampau,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top