Hiburan Islamik mencetuskan fenomena positif

Hiburan Islamik mencetuskan fenomena positif

mohamadridzuan@hmetro.com.my

LAMBAKAN pelbagai genre acara hiburan komersial di ibu negara sempena kehadiran tahun baharu 2026 baru-baru ini, langsung tidak menjejaskan tumpuan masyarakat yang mahukan hiburan seimbang sebagai santapan rohani.

Ia terbukti apabila Konsert Malam Hijrah Bergema anjuran TV AlHijrah berjaya menghimpunkan ribuan pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat dalam suasana tertib, tenang dan penuh penghayatan.

Elemen seni dan dakwah digabungkan sebagai medium menyampaikan mesej penghijrahan jiwa sempena sambutan ambang tahun baharu, berjaya membuai jiwa dan menyuntik keinsafan kepada mereka yang hadir.

Paling istimewa, konsert ini turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Marhamah Rosli serta tetamu lain iaitu Timbalan Ketua Setiausaha (TKSUK) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Ahli Lembaga Pengarah TV AlHijrah, serta barisan Ketua Agensi Hal Ehwal Agama, sekali gus mencerminkan sokongan pelbagai pihak terhadap usaha memperkasa seni dan dakwah.

Sejak petang sebelum bermulanya konsert, sekitar Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) sudah dipenuhi peminat yang hadir bersama keluarga dan rakan-rakan yang teruja untuk menonton nama-nama besar yang ditampilkan.

Fenomena ini mencerminkan penerimaan masyarakat terhadap pendekatan hiburan Islamik yang bersifat mendidik, inklusif dan membina.

Kehadiran pelbagai generasi dalam satu ruang yang sama turut memperlihatkan sokongan masyarakat terhadap pengisian seni berteraskan nilai dan adab.

Alunan nasyid, selawat serta lagu-lagu berteraskan ketuhanan dan kemanusiaan bergema menyentuh jiwa penonton, sekali gus mewujudkan suasana kebersamaan yang jarang dilihat dalam penganjuran konsert berskala besar, khususnya pada malam ambang tahun baharu yang lazimnya dikaitkan dengan hiburan bersifat konvensional.

Konsert Malam Hijrah Bergema menampilkan barisan artis jemputan seperti Rabbani, Raihan, UNIC, Lah Ahmad, Hijjaz, Mawi, Sufian Suhaimi dan Munsyid Muda (Simfoni, Rabithah, Fine, Aeydan, Onepath, Andika).

Tidak ketinggalan, ia juga menampilkan penyanyi legenda Datuk Hattan, Datuk Jamal Abdillah dan Datuk Nash yang masing-masing menyampaikan karya berunsur dakwah dan kerohanian.

Lagu-lagu yang memenuhi pentas PICC pula sememangnya sinonim dengan halwa telinga penonton antaranya Pergi Tak Kembali, Intifada, Kasih Kekasih, Nurkasih, Pada Syurga Di Wajahmu, Mahligai Syahdu, Ghazal Untuk Rabiah, Kian dan banyak lagi.

Setiap persembahan disusun rapi bagi membawa hadirin menyelami makna hijrah melalui lirik-lirik yang sarat mesej keinsafan, harapan dan ketundukan kepada Ilahi.

Kemuncak konsert menyaksikan semua penonton bangkit bersama-sama mengalunkan selawat dan lagu-lagu bertemakan penghijrahan diri, mencipta detik simbolik menyambut tahun baharu dengan doa, muhasabah dan azam untuk menjadi insan yang lebih baik.

Respon hangat dan bersemangat penonton sepanjang konsert jelas memperlihatkan keberkesanan seni sebagai bahasa dakwah yang mampu menyentuh emosi serta menyatukan masyarakat.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, penganjuran Konsert Malam Hijrah Bergema bukan sekadar sebuah acara hiburan, sebaliknya sebagai platform dakwah kontemporari yang relevan dengan keperluan masyarakat masa kini.

“Kami melihat seni sebagai bahasa masa hadapan dakwah. Apabila mesej Islam disampaikan dengan hikmah, kreativiti dan keindahan, ia bukan sahaja menyentuh hati, malah membina pemikiran serta menyatukan generasi.

“Inilah visi TV AlHijrah, memimpin perubahan melalui kandungan yang relevan, berjiwa dan berdaya saing,” katanya yang teruja dengan sambutan hebat itu.

Tambah Namanzee, hijrah yang ingin diketengahkan bukan sekadar perubahan luaran, tetapi membabitkan hijrah jiwa, akhlak dan cara berfikir.

Dari aspek penganjuran, konsert ini berjalan lancar dengan kawalan keselamatan teratur serta kerjasama erat pelbagai agensi dan sukarelawan yang bertugas sepanjang program.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top