am@hmetro.com.my
Temerloh: “Paling menakutkan bila doktor ambil sumsum tulang. Rasa sakit, tapi Aqilah cuba kuat,” kata kanak-kanak, Nur Aqilah Mohd Faizal, sembilan tahun, yang terpaksa melalui pengalaman perit melawan kanser darah pada usia muda.
Aqilah berkata, dia sering berasa bimbang setiap kali perlu masuk ke dalam wad namun cuba menahan kesakitan supaya tidak menangis di hadapan ibu bapanya.
Ibunya, Siti Asilah Ismail, 36, berkata perubahan kesihatan anak keduanya itu disedari pada hujung Julai 2025 apabila Aqilah kerap mengalami keletihan, lebam pada badan serta pucat.
Menurutnya, keadaan anaknya semakin membimbangkan apabila Aqilah menggigil pada waktu malam, tidak bermaya pada siang hari dan kerap mengadu sakit di bahagian rusuk.
“Saya bawanya ke klinik sebelum ujian darah menunjukkan sel darah putihnya tinggi, manakala paras hemoglobin dan platelet rendah,” katanya.
Aqilah kemudian dirujuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah sebelum menjalani pemeriksaan lanjut di hospital di Cheras, Kuala Lumpur, termasuk prosedur pengambilan sampel sumsum tulang bagi mengesahkan penyakit.
“Prosedur itu menjadi pengalaman paling menakutkan buat Aqilah kerana terpaksa menahan kesakitan walaupun dalam keadaan takut dan lemah,” katanya.
Keputusan ujian mengesahkan Aqilah menghidap kanser darah dan dia perlu menjalani empat kitaran rawatan kemoterapi, dengan setiap kitaran mengambil masa hampir sebulan serta memerlukannya berada di wad hospital.
Siti Asilah berkata, Aqilah kini menjalani rawatan susulan dan pemeriksaan berkala setiap dua bulan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz dan tidak digalakkan melakukan aktiviti lasak seperti kanak-kanak lain.
Katanya, cabaran terbesar keluarganya adalah kekangan kos sara hidup dan perbelanjaan ketika berulang-alik ke hospital.
“Bapa Aqilah, Mohd Faizal Othman, 40, bekerja sendiri dan mereka sekeluarga menetap di Kampung Tualang, Temerloh,” katanya.
Siti Asilah berkata, keluarganya memerlukan bantuan kewangan bagi menampung kos rawatan dan perbelanjaan harian sepanjang berada di hospital.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkannya ke akaun CIMB 7036322258 (Siti Asilah Ismail).
© New Straits Times Press (M) Bhd




