KUALA LUMPUR: Beregu lelaki No. 5 dunia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun mara ke pusingan kedua selepas menewaskan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark di peringkat 32 terbaik pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini, hari ini.
Pasangan No. 2 Malaysia itu melakar kemenangan straight set ke atas Astrup-Rasmussen yang menghuni ranking No. 10 dunia 21-17, 21-18 dalam masa 42 minit.
Kemenangan tersebut membuka laluan kepada Wei Chong-Kai Wun, menyamakan rekod pertemuan dengan Astrup-Rasmussen kepada 2-2.
Pada pusingan kedua, Khamis ini, Wei Chong-Kai Wun bakal berdepan gandingan Jepun yang berada di tangga ke-26 dunia, Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita.
Wei Chong berkata, berdepan beregu veteran Denmark itu tidak mudah kerana tahun lalu mereka tewas straight set kepada pasangan tersebut di Terbuka Singapura.
“Tetapi kali ini mereka pun bermain dengan bagus juga, jadi kita kena pandai cari tempat kosong bagi mendapatkan kutipan mata secara konsisten,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan berakhir.
Katanya, penting untuk mereka bermain konsisten dalam perlawanan pertama dan selepas itu, baru fikir bagaimana hendak kutip mata.
“Jadi, dari pihak kita sendiri, kita cuba buat yang terbaik, dari sana baru kita boleh mengganggu rentak permainan lawan,” kata Wei Chong.
Ketika ditanya pula mengenai Midorikawa-Yamashita yang pernah menewaskan wakil negara itu di Jepun Masters, tahun lalu, Kai Wun berkata, mereka perlu bersedia bertemu pasangan No. 26 dunia tersebut kerana beregu yang beraksi lebih konsisten akan muncul sebagai pemenang. – UTUSAN




