Penerbit dan pengarah Datuk Yusof Haslam berkata dia maklum mengenai penahanan seorang pelakon wanita yang didakwa terlibat dengan kes dadah.
Memetik Utusan Online, Yusof berkata dia sudah memberi amaran kepada pelakon berkenaan namun tidak diendahkan.
BACA: Pelakon Wanita Drama Kepolisan Ditahan Positif Dadah
“Saya sudah beri amaran, jangan ‘expose’ diri, pergi kelab dan sebagainya kerana dia berlakon watak polis. Saya menasihatkan dia, jika hendak pergi kelab malam, karaoke dan sebagainya itu hak dia, tetapi berpada-pada kerana dia terlibat Gerak Khas 2.0.
“Saya tahu pergi karaoke itu memang rutin dia, namun kurang-kurangkan kerana dia membawa watak seorang polis,” katanya.
Sementara itu, Yusof turut berkata dia sememangnya menjaga imej drama Gerak Khas apatah lagi ianya sudah lama bersiaran di kaca televisyen.
“Apa pun amaran itu tidak diendahkan dan akhirnya membinasakan. Saya amat menjaga imej Gerak Khas dan tak mahu ianya tercalar. Bukanlah kita ini sempurna tapi sekurang-kurangnya saya tak mahu imej polis itu tercemar,” katanya.




