am@hmetro.com.my
Kluang: Teruja dengan keuntungan tinggi dalam tempoh singkat, seorang pesara lelaki berputih mata apabila kerugian lebih RM250,000, angkara pelaburan mata asing tidak wujud.
Mangsa berusia 65 tahun dikatakan terjebak dengan skim pelaburan itu selepas melihat iklan ketika melayari Internet pada 15 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, sindiket menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat kepada mangsa dan dia diminta mendaftar melalui pautan diberikan selepas berhubung dengan seorang ‘ejen pelaburan’.
“Antara tempoh 2 November hingga 23 Disember lalu, mangsa membuat pembayaran berjumlah RM261,420 ke dalam empat akaun bank berbeza secara berperingkat dan mendapati terdapat keuntungan berjumlah RM500,000 dalam akaun pelaburannya,” katanya dalam kenyataan.
Bahrin berkata, bagaimanapun mangsa diminta membuat pembayaran lagi jika mahu membuat pengeluaran keuntungan, menyebabkan dia sedar sudah diperdaya dan membuat laporan polis.
“Siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




