KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengadakan perbincangan dengan syarikat minyak bagi mendapatkan maklumat berhubung dakwaan pengusaha stesen minyak menanggung kerugian semasa peralihan pelaksanaan penambahbaikan subsidi bahan api sebelum ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan menghargai kerjasama syarikat dan stesen minyak dalam menjayakan pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 dan diesel.
“Merujuk kepada permasalahan yang dibangkitkan, saya akan minta Menteri Kewangan II (Datuk Seri Amir Hamzah Azizan) membantu mendapatkan keterangan lanjut dan juga berunding dengan syarikat minyak.
“Setakat ini mereka memberi kerjasama penuh, kalau tidak, tidak mungkin kita dapat melaksanakan penyasaran subsidi RON95 dan diesel dengan berkesan. Kalau ada sedikit ketempangan yang dibangkitkan, Insya-Allah kita boleh berunding untuk mencari penyelesaian yang baik,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur) berhubung isu pengusaha stesen minyak didakwa menanggung kerugian antara RM40,000 hingga RM50,000 ketika peralihan harga bahan api bersubsidi.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan sebelum ini tidak mahu tergesa-gesa melaksanakan penambahbaikan subsidi diesel kerana perlu mengambil kira keadaan di Sabah dan Sarawak yang lebih kompleks berbanding Semenanjung.
Katanya, penggunaan diesel yang lebih tinggi, faktor jarak di kawasan pedalaman serta bilangan stesen minyak yang lebih terhad di sana memerlukan penelitian sebelum sebarang dasar baharu dilaksanakan.
Selain itu, Perdana Menteri berkata, penambahbaikan program Budi Madani Diesel (BUDI Diesel) yang membolehkan pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip memohon tambahan kuota subsidi sebanyak 100 liter telah menjadikan jumlah kelayakan keseluruhan kepada 300 liter sebulan.
Sehingga semalam, kira-kira 200,000 permohonan tambahan kuota tersebut daripada warganegara telah diluluskan. – UTUSAN




