Siapa bakal cabar Inter musim depan?

Siapa bakal cabar Inter musim depan?

MILAN: Inter Milan meraih gelaran Serie A pertama dalam tempoh 11 tahun tetapi juara yang tumbang, Juventus pasti tidak sabar untuk merampas kembali trofi menjadi milik mereka sejak sembilan musim berturut-turut itu.

AC Milan dan Atalanta memiliki kebolehan untuk mencabar manakala kepulangan Jose Mourinho ke Itali bersama Roma boleh menghadirkan sesuatu.

Skuad kendalian Antonio Conte, Inter mendominasi Serie A musim ini dengan mengesahkan gelaran ke-19 berbaki empat perlawanan, menang ‘Scudetto’ pertama sejak tiga kejuaraan di bawah Mourinho pada 2010.

Conte membina ‘Nerazzurri’ sejak tiba di sana dua tahun lalu, menamatkan saingan di tangga kedua dua tahun lalu pada musim pertama sebelum menang mahkota liga kelimanya, tiga bersama Juventus antara 2012 dan 2014 serta satu bersama Chelsea pada 2017.

Tersingkir awal pada saingan Eropah membolehkan Inter fokus terhadap kempen liga dan Conte kini menyasarkan dominasi bersama Inter sama seperti dilakukan di Juve sedekad lalu.

Pertama sekali pengendali berusia 51 tahun itu mahu jaminan daripada pemilik kelab dari China mengenai pemain baharu dan sedia ada termasuk Romelu Lukaku, Lautaro Martinez, Achraf Hakimi, Alessandro Bastoni dan Nicolo Barella.

Inter menamatkan liga dengan 91 mata, catatan kedua terbaik mereka dan jaringan kedua terbanyak di belakang Atalanta dengan 89 gol dijaringkan 17 pemain selain pertahanan paling kebal.

“Kami mahu meraikan saat ini tetapi pada Isnin, kami akan terus menyesuaikan diri di musim baharu,” kata Conte.

Skuad bimbingan Stefano Pioli, Milan terselamat daripada laluan berliku babak kedua musim selepas mendahului pada awal kempen bagi meletakkan mereka selaku pencabar musim depan.

Walaupun beraksi buruk di laman sendiri, Milan mencatat rekod Serie A dengan 16 kemenangan di tempat lawan untuk kedudukan kedua liga – 12 mata di belakang Inter – dan kembali ke Liga Juara-Juara pertama kali dalam tujuh tahun. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top