zanariah_mutalib@bh.com.my
Kuala Lumpur : Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah menunjukkan sedikit penurunan pada pagi ini kepada 1,363 orang daripada 500 keluarga, berbanding 1,418 orang daripada 498 keluarga, petang semalam.
Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), semua mangsa ditempatkan di 11 PPS di empat daerah, termasuk 627 mangsa daripada 211 keluarga di empat PPS di Beaufort dan 271 mangsa daripada 97 keluarga di dua PPS di Kota Belud.
Selain itu, 325 mangsa daripada 152 keluarga di empat PPS di Tenom dan 140 mangsa daripada 40 keluarga di sebuah PPS di Kemabong.
Di Sarawak, seramai 301 mangsa daripada 134 keluarga masih ditempatkan di dua PPS di Miri, manakala di Perak, 22 mangsa banjir daripada empat keluarga ditempatkan di sebuah PPS di Kinta.
Sementara itu, laman web Public Info Banjir melaporkan aras air di tiga kawasan di Sarawak melebihi tahap bahaya iaitu di Marudi, Miri; Nanga Lemai B, Sibu dan Kampung Entingan, Samarahan.
Pada masa sama, tujuh kawasan turut mencatatkan aras air melebihi paras amaran iaitu Nangsa Insungai dan Lubok Piasau II, Limbang; Bekenu, Benawa dan Long Teru, Miri; Matu, Mukah dan Kampung Mang, Samarahan.
Aras air tahap amaran turut direkodkan di Sungai Rompin di Kampung Aur (F2), Rompin, Pahang dan Sungai Siput di Kampung Sungai Siput (F2), Alor Gajah, Melaka.
© New Straits Times Press (M) Bhd




