Brasilia: Piala Dunia 2026 mencetuskan perubahan besar dalam cara rakyat Brazil mengikuti kejohanan itu apabila buat pertama kali hanya separuh daripada keseluruhan 104 perlawanan disiarkan menerusi televisyen tradisional.
Platform penstriman berasaskan YouTube, CazeTV, muncul sebagai satu-satunya penyiar yang menawarkan semua perlawanan secara percuma sekali gus mengubah landskap penyiaran sukan di pasaran media terbesar Amerika Latin.
Walaupun rangkaian televisyen Globo masih menjadi penyiar terbesar kejohanan dengan mencapai kira-kira 86 peratus daripada jumlah penonton setakat ini, data awal menunjukkan penonton kini semakin berpecah antara televisyen dan platform penstriman.
Perubahan itu memberi lebih banyak pilihan kepada golongan muda untuk mengikuti aksi Piala Dunia, namun pada masa sama menyebabkan sebahagian penonton kasual terlepas beberapa perlawanan yang tidak lagi disiarkan menerusi saluran televisyen percuma.
Menurut CazeTV, platform itu merekodkan sehingga 21.3 juta peranti disambungkan serentak ketika Brazil menewaskan Jepun 2-1, sekali gus meletakkannya antara siaran langsung paling banyak ditonton dalam sejarah YouTube.
Pengasas bersama LiveMode, Sergio Lopes berkata, Brazil menjadi lokasi terbaik untuk menguji model penyiaran digital kerana budaya bola sepak yang kuat serta tahap penggunaan media digital yang tinggi.
“Semua organisasi sukan utama dunia sedang mencari cara baharu untuk mendekati penonton yang tabiat penggunaan medianya sudah berubah. Brazil membolehkan kami menguji dan memperkemaskan idea itu pada skala besar,” katanya.
Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) turut menyatakan kerjasama dengan CazeTV bertujuan menarik lebih ramai penonton muda menerusi pendekatan digital yang lebih santai dan dekat dengan komuniti.
Bagaimanapun, CazeTV turut menerima kritikan apabila menampilkan paparan kadar pertaruhan daripada syarikat penaja sepanjang siaran langsung, ketika isu ketagihan perjudian sukan semakin mendapat perhatian kerajaan Brazil.
Penganalisis percaya persaingan antara televisyen tradisional dan platform penstriman akan menjadi lebih sengit menjelang Piala Dunia 2030, dengan penyiar utama dijangka kembali memburu hak penyiaran penuh bagi mengekalkan penguasaan mereka dalam pasaran sukan negara itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




