Tiada jalan pintas mohon semula kerakyatan

Tiada jalan pintas mohon semula kerakyatan

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Tiada jalan ekspres dan layanan istimewa untuk menjadi semula warganegara Malaysia selepas mereka melepaskannya menjadi rakyat negara lain.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Datuk Badrul Hisham Alias berkata, pihaknya mengakui memang ada kes yang memohon semula untuk menjadi warganegara Malaysia.

“Memang ada kes. Sebab waktu dia lepaskan kerakyatan, dia masih muda, apabila dewasa dia mohon semula.

“Kita ambil analogi, waktu kita muda, kita keluar daripada kampung, kita mari ke Kuala Lumpur, kita kerja. Jadi apabila kita dah berusia, kita akan balik kampung.

“Waktu mencari rezeki di luar negara, mereka ada keluarga di sana namun apabila sudah tua ataupun bercerai maka dia akan pulang memohon untuk menjadi warganegara semula,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Harian Metro.

Beliau berkata, ada yang memohon kerana mereka masih mempunyai ahli keluarga terdekat yang menetap di Malaysia.

“Selain itu, kerana ketidakselesaan menetap di luar negara, khususnya berkaitan dengan kos sara hidup yang tinggi dan cabaran dalam menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu.

“Perbezaan dari segi budaya dan cara hidup yang jauh berbeza daripada apa yang telah dibiasakan di Malaysia dan ada yang memohon semula atas dasar jati diri serta kecintaan terhadap tanah air,” katanya.

Katanya, berdasarkan rekod jabatan ini, jumlah permohonan oleh individu yang melepaskan kewarganegaraan Malaysia dan memohon semula permohonan bagi tempoh 2020 hingga 2025 adalah sebanyak tiga permohonan iaitu dua permohonan secara naturalisasi mengikut Perkara 19(1) Perlembagaan Persekutuan dan satu permohonan secara daftaran mengikut Perkara 15(1) Perlembagaan Persekutuan (isteri kepada lelaki warganegara Malaysia).

“Tiada peruntukan khusus di dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung permohonan semula taraf kewarganegaraan Malaysia bagi individu yang melepaskan kewarganegaraan Malaysia.

“Bagaimanapun, permohonan boleh dibuat berdasarkan peruntukan sedia ada sebagaimana individu warga asing yang lain iaitu didaftarkan sebagai warganegara Malaysia.

“Dalam hal ini, individu yang terbabit perlu mematuhi prosedur serta syarat yang ditetapkan di bawah peruntukan undang-undang semasa yang berkuat kuasa.

“Syarat yang ditetapkan termasuklah keperluan bermastautin di Malaysia bagi tempoh yang ditetapkan iaitu selama 12 tahun secara kumulatif yang dikira bermula dari pengeluaran Kad Pengenalan Permastautin Tetap (MyPR) kali pertama, berkelakuan baik serta mempunyai pengetahuan bahasa Melayu yang mencukupi.

“Individu yang memenuhi semua kriteria ini boleh mengemukakan permohonan kewarganegaraan kepada JPN sekiranya mempunyai kelayakan,” katanya.

Badrul Hisyam berkata, JPN juga mengambil kira pelbagai aspek termasuk tahap kesetiaan dan latar belakang keselamatan pemohon sebelum sesuatu permohonan semula kewarganegaraan dipertimbangkan.

“Penilaian ini dilaksanakan secara menyeluruh dan membabitkan semakan serta tapisan keselamatan oleh agensi yang berkaitan.

“Ini penting bagi memastikan bahawa setiap individu yang diberi semula taraf kewarganegaraan benar-benar setia kepada negara, berkelakuan baik dan tidak mendatangkan ancaman yang boleh menjejaskan keselamatan serta kepentingan negara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top