Washington: Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) membenarkan pembinaan dewan besar kontroversi Presiden Donald Trump diteruskan buat sementara waktu di pekarangan Rumah Putih, menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Mahkamah tertinggi itu menggantung sementara perintah mahkamah rendah yang menghentikan kerja pembinaan, menurut perintah ringkas Ketua Hakim Negara John Roberts.
Perintah itu akan kekal berkuat kuasa sehingga mahkamah membuat keputusan mengenai kes berkenaan.
Pertikaian undang-undang berhubung rancangan pembinaan dewan besar itu berlarutan selama bertahun-tahun, dengan kos pembinaannya dijangka mencecah ratusan juta dolar.
Terbaharu, mahkamah rayuan memutuskan bahawa Trump tidak dibenarkan membina dewan besar itu tanpa kebenaran.
Mahkamah mendapati beliau perlu mendapatkan kelulusan Kongres dan pembinaan perlu digantung sehingga diberitahu kelak.
Golongan pemulihara warisan membawa pentadbiran AS ke mahkamah dalam usaha menghentikan projek itu, yang menerima kritikan berhubung kos, saiz, pelaksanaannya tanpa rundingan serta kesannya terhadap kompleks bersejarah Rumah Putih.
Projek dewan besar itu berulang kali berdepan cabaran undang-undang, namun presiden dan pasukannya menegaskan pembinaan berkenaan diperlukan atas faktor keselamatan negara.
Trump bulan lepas berkata dewan besar baharu itu mampu menahan hampir semua bentuk serangan dan pada masa sama kekal menarik dari segi estetika.
“Ia kalis peluru, kalis dron, dalam banyak keadaan kalis peluru berpandu, dan pada masa sama cantik,” katanya.
Pembinaan bermula pada 2025 di tapak bekas Sayap Timur Rumah Putih.
Bangunan tambahan yang meliputi kawasan seluas beberapa ribu meter persegi itu akan membolehkan jamuan negara yang jauh lebih besar diadakan berbanding di bangunan yang digunakan sebelum ini, menurut pentadbiran AS.
© New Straits Times Press (M) Bhd
