Sentuh emosi penonton merentas budaya dan sempadan

Sentuh emosi penonton merentas budaya dan sempadan

am@hmetro.com.my

FILEM The Voice of Hind Rajab mencipta sensasi di pentas antarabangsa apabila meraih deretan anugerah utama selain pencalonan di festival filem berprestij dunia, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara karya paling berimpak tahun ini.

Di bawah arahan pengarah Kaouther Ben Hania, filem ini muncul sebagai pesaing utama Academy Awards ke-98 (2026) dan dipilih sebagai wakil rasmi Tunisia bagi kategori Best International Feature Film'(Filem Cereka Antarabangsa Terbaik).

Senarai lima calon akhir dijadual diumumkan pada 22 Januari 2026, sebelum malam kemuncak Anugerah Oscar pada 15 Mac 2026.

Sebelum mencuri tumpuan di Oscar, ‘The Voice of Hind Rajab’ mencatat kejayaan besar apabila memenangi anugerah Silver Lion Grand Jury Prize di Festival Filem Venice, antara pengiktirafan tertinggi festival berkenaan.

Momentum kejayaan diteruskan di Festival Filem Antarabangsa San Sebasti·n (SSIFF) apabila ia merekodkan skor penonton tertinggi sepanjang 73 tahun penganjuran festival itu, iaitu 9.52 sekali gus merangkul ‘Audience Award’ (Anugerah Penonton).

Kejayaan itu diperkukuh lagi dengan kemenangan anugerah Silver Hugo Jury Award di Festival Filem Antarabangsa Chicago ke-61 serta ‘Best International Feature’ (Filem Cereka Antarabangsa Terbaik) di Festival Filem Middleburg.

Lebih membanggakan, filem ini turut memenangi 10 Audience Award di festival antarabangsa lain termasuk Festival Filem Antarabangsa Warsaw (Poland), CINEMED 2025 (Perancis) dan Festival Filem Kitzb¸hel (Austria) membuktikan kisah Hind Rajab menyentuh emosi penonton merentas budaya dan sempadan.

Filem ini juga pernah ditayangkan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sekali gus meletakkannya sebagai karya yang melangkaui hiburan, sebaliknya turut membawa mesej kemanusiaan kepada masyarakat dunia.

Selain itu, ‘The Voice of Hind Rajab’ turut menerima pencalonan di anugerah arus perdana antarabangsa termasuk Filem Terbaik (Bukan Bahasa Inggeris) di Anugerah Golden Globe, serta Best European Feature (Anugerah Filem Ciri Eropah Terbaik) dan Best Sound (Anugerah Filem Bunyi Terbaik) di Anugerah Filem Eropah 2026.

Dibina daripada rakaman sebenar panggilan kecemasan sukarelawan Bulan Sabit Merah Palestin dengan penggunaan suara asli Hind Rajab, setiap pengiktirafan yang diraih memberi makna lebih besar sebagai suara kepada kisah kemanusiaan yang jarang didengari.

Inilah legasi sebenar filem ini, apabila sinema tidak sekadar ditonton, tetapi menjadi suara bagi mereka yang telah dirampas hak untuk terus bersuara.

Filem The Voice of Hind Rajab bakal ditayangkan di pawagam terpilih bermula hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top