Putrajaya: Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Majlis Amanah Rakyat Corporation Sdn Bhd (MARA Corporation) Datuk Badlisyah Abdul Ghani membayar RM3.4 juta kepada syarikat itu kerana melanggar kewajipan kontrak, fidusiari dan statutori.
Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Wong Kian Kheong, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid dan Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin menolak rayuan Badlisyah dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.
Mahkamah turut memerintahkan Badlisyah membayar kos sebanyak RM50,000.
Dalam alasan penghakiman bertarikh 12 Ogos lepas, Hakim Ahmad Kamal berkata, mahkamah mendapati tiada kesilapan yang boleh dirayu sehingga mewajarkan campur tangan Mahkamah Rayuan dalam kes berkenaan.
“Hakim Mahkamah Tinggi telah membuat keputusan yang betul dengan membenarkan tuntutan MARA Corporation selepas menilai dokumen yang direkodkan pada masa kejadian serta keterangan lisan saksi-saksi,” katanya.
Hakim Ahmad Kamal berkata berdasarkan keterangan yang dikemukakan di hadapan mahkamah, Badlisyah menerusi tindakannya telah gagal melaksanakan tanggungjawab sebagai CEO Kumpulan demi kepentingan terbaik MARA Corporation.
Beliau berkata, sebagai CEO Kumpulan ketika itu, Badlisyah sepatutnya memastikan pengambilan 25 pekerja dibawa kepada perhatian Lembaga Pengarah untuk mendapatkan kelulusan sebelum mengambil mereka bekerja.
Hakim Ahmad Kamal turut berkata, tindakan mengambil 25 pekerja dalam tempoh singkat dua bulan, dengan proses itu bermula hanya dua minggu selepas Badlisyah mula berkhidmat pada 8 Sept 2020, menimbulkan persoalan yang serius.
“Masa, tindakan tergesa-gesa dan cara pengambilan 25 pekerja yang dilakukan secara tersembunyi itu tidak boleh dianggap sebagai tindakan dalam skop munasabah bagi menjalankan urusan perniagaan MARA Corporation dengan niat baik,” katanya.
Hakim Ahmad Kamal berkata, Mahkamah Rayuan turut bersetuju dengan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa pengambilan 25 pekerja berkenaan telah memberi kesan kewangan kepada MARA Corporation.
Pada 20 Mei 2024, Mahkamah Tinggi memerintahkan Badlisyah membayar RM2,728,673.82 dan RM739,541.60 kepada MARA Corporation serta menanggung kerugian syarikat itu bagi perbelanjaan yang timbul berhubung tuntutan perhubungan perusahaan melibatkan bekas pekerja.
Badlisyah dilantik sebagai CEO Kumpulan MARA Corporation pada 8 Sept 2020 sebelum digantung tugas pada 19 Nov 2020.
Syarikat itu memfailkan saman terhadap Badlisyah dengan mendakwa beliau melakukan beberapa pelanggaran, termasuk mengambil 25 pekerja tanpa kelulusan Lembaga Pengarah serta membuat salah nyata kepada Jawatankuasa Pencalonan dan Imbuhan Lembaga (BNRC) berhubung empat pekerja.
© New Straits Times Press (M) Bhd


