mahanum_aziz@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Momentum pemulihan ekonomi negara akan terjejas jika kerajaan melaksanakan sekatan dan kawalan pergerakan secara penuh bermula 25 Mei hingga 7 Jun 2021 seperti yang berlaku dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata sekatan dan kawalan pergerakan secara penuh akan menyebabkan kadar pengangguran meningkat dengan mendadak, bilangan isi rumah miskin akan bertambah, prestasi syarikat kecil dan besar akan terjejas dan kedudukan fiskal akan berada dalam keadaan yang lebih mencabar.
Beliau berkata, semasa libat urus dengan wakil industri, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta persatuan penjaja pada 22 dan 23 Mei 2021, sebahagian besar daripada mereka bersetuju dengan keputusan kerajaan untuk melaksanakan PKP 3.0.
“Kerajaan perlu sentiasa mengimbangkan antara nyawa dan kehidupan. Keputusan untuk melaksanakan PKP 3.0 dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang lebih ketat adalah tepat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media secara maya mengumumkan prestasi Indeks Pelopor (IP) bagi Mac 2021, hari ini.
Hadir sama, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.
Pemulihan ekonomi negara berada dalam landasan kukuh dengan IP pada Mac lalu mencatatkan pertumbuhan 17.3 peratus berbanding masing-masing 8.2 peratus pada Januari dan 8.6 peratus pada Februari 2021.
Pertumbuhan tahunan tertinggi direkodkan susulan penguncupan ekonomi yang ketara pada Mac 2020 susulan daripada pembendungan penularan wabak.
Mustapa berkata, prestasi yang baik itu adalah selaras dengan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada Mac 2021 sebanyak 6.0 peratus.
“Kerajaan menjangkakan bahawa unjuran pertumbuhan 2021 sebanyak 6.0 hingga 7.5 peratus dapat dicapai sekiranya krisis kesihatan ini dapat distabilkan selepas berakhirnya PKP 3.0,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
