harisfadli@hmetro.com.my
Kajang: Seramai 171 buruh disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi di sebuah kawasan perindustrian dan tapak pembinaan di Semenyih serta Sungai Long, di sini, semalam.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan bermula 12 tengah hari itu dijalankan susulan aduan awam berhubung lambakan warga asing di kawasan itu.
“Hasil pemeriksaan, seramai 171 individu yang terdiri dari warganegara Bangladesh, Myanmar, India, Nepal dan Indonesia berusia antara 29 hingga 50 tahun ditahan.
“Pihak agensi sahabat turut mengeluarkan tiga kompaun berjumlah RM15,000 dan satu saman berjumlah RM500 atas kesalahan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1957,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, keseluruhan seramai 216 individu diperiksa terdiri daripada 189 warga asing dan 27 tempatan berusia antara 29 hingga 50 tahun.
Zakaria berkata, operasi dijalankan secara bersepadu bersama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK).
Katanya, kesemua ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1) Akta Imigresen 1959/63, dan Perkara 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
“Semasa operasi dijalankan, sebanyak lima Borang 29 (saman saksi) dikeluarkan kepada warganegara Malaysia bagi membantu siasatan.
“Kesemua warga asing yang ditahan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih untuk siasatan dan tindakan lanjut.
“JIM tidak akan berkompromi sama sekali terhadap warga asing yang tinggal secara haram, tinggal lebih masa dan menyalah guna pas di negara ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




