am@hmetro.com.my
Shah Alam: Seorang remaja lelaki dan teman wanitanya yang masih belajar di Tingkatan Dua dilaporkan hilang selepas kedua-duanya dipercayai keluar bersama Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan kedua-dua remaja itu oleh ibu bapa masing-masing kelmarin.
Katanya, siasatan mendapati, lokasi terakhir P Shaswin, 17 dan A Jesitha, 14, adalah di Blok 40 Taman Alam Megah apabila dilihat menaiki motosikal Honda Wave dengan nombor pendaftaran BRL 334 bersama dengan membawa beg galas.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa keluar rumah pada 5 Januari lalu kira-kira jam 10.30 pagi dari kediaman masing-masing di Seksyen 33 Shah Alam.
“Remaja perempuan itu dipercayai keluar mengikut teman lelakinya tanpa membawa telefon bimbit manakala teman lelakinya ada membawa telefon bimbit, namun gagal dihubungi,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.
Ramsay berkata, siasatan mendapati remaja lelaki berkenaan bekerja di sebuah hab kurier Alam Megah manakala teman wanitanya adalah pelajar Tingkatan Dua di Sekolah Menengah Kebangsaan Alam Megah.
“Keluarga kedua-dua pasangan berkenaan menyatakan tiada berlaku sebarang perselisihan faham antara mereka dan mengesyaki kedua-dua Orang Hilang (OH) keluar atas hubungan pasangan kekasih.
“Susulan itu, polis membuka kertas siasatan OH semalam,” katanya dan meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohamad Sabri Abd Rani di talian 017-2892628.
© New Straits Times Press (M) Bhd




