am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon, Nelissa Nizam, 28, berpendapat kadar bayaran seseorang artis adalah hak individu dan tidak seharusnya dipertikaikan dalam industri hiburan.
Menurut Nelissa, setiap pelakon berhak menentukan kadar bayaran mereka sendiri berdasarkan kemampuan serta penilaian peribadi terhadap kualiti kerja yang ditawarkan.
“Ia terpulang kepada seseorang artis termasuk artis baharu untuk ‘demand’ dari segi bayaran kerana itu adalah nilai yang mereka letakkan pada diri sendiri.
“Tidak perlu dipertikaikan atau mempersoalkan perkara terbabit. Jika rasa tidak sesuai, pihak produksi boleh memilih untuk tidak mengambil mereka,” kata Nelissa ketika ditemui pada majlis hi-tea koleksi jenama HER Series, semalam.
Mengulas lanjut, kata Nelissa, setiap pelakon perlu sedar kadar bayaran yang diletakkan harus seiring dengan mutu kerja, profesionalisme serta sikap ketika berada di set penggambaran.
“Kalau letak harga tinggi tetapi sikap dan hasil kerja tidak sepadan, ia juga tidak mendatangkan kebaikan.
“Kadar bayaran yang diletakkan perlu selari dengan pulangan yang mampu diberikan kepada pihak produksi.
“Pelakon juga perlu sedar jika mereka meletakkan harga tertentu, mereka tidak boleh berkecil hati sekiranya kurang menerima tawaran berlakon,” katanya.
Pelakon filem Sahak Gangster itu turut menegaskan kepentingan perbincangan dan sikap bertolak ansur antara pelakon dan pihak produksi dalam menentukan hala tuju kerjaya seni masing-masing.
“Segalanya perlu dibincangkan dengan baik. Pelakon perlu jelas sama ada mereka mahu mengejar peluang, pengalaman atau pulangan kewangan. Semua itu saling berkait,” katanya.
Sementara itu, mengenai jenama HER Series yang dilancarkan pula, ia membabitkan sebanyak empat episod sepanjang tahun ini.
Episod pertama koleksi itu menampilkan pemilihan rona merah ‘bold’ yang melambangkan keyakinan diri serta semangat memperkasakan wanita.
© New Straits Times Press (M) Bhd




