amir_hamid@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Gabungan Kesatuan Kakitangan Am Universiti Awam Malaysia (GAKUM) mendesak reformasi menyeluruh dilaksanakan terhadap syarikat pegangan universiti awam bagi mengelakkan kegagalan memainkan peranan dalam memperkukuh kemampanan kewangan universiti.
Presidennya, Norsyahriman Md Arif berkata, gesaan itu susulan perkembangan berkaitan kerugian UiTM Holdings yang dianggarkan mencecah RM157 juta.
Menurutnya, GAKUM menyambut baik saranan dan kenyataan tegas Perdana Menteri supaya isu berkenaan disiasat segera dan tindakan selanjutnya diambil sekiranya terbukti berlaku penyelewengan.
“GAKUM yakin dan percaya isu ini sudah sampai ke pengetahuan Menteri Pendidikan Tinggi berdasarkan kenyataan media beliau pada 27 September lalu.
“Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyusun beberapa langkah strategik supaya syarikat pegangan universiti awam dapat berfungsi dengan lebih cekap dan mampu memberi sumbangan bermakna kepada universiti masing-masing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, perkara berkaitan prestasi syarikat pegangan universiti awam turut dibangkitkan GAKUM dalam kunjungan hormat kepada Menteri Pendidikan Tinggi pada 7 September lalu.
“GAKUM membangkitkan mengenai sebahagian besar syarikat pegangan universiti awam gagal untuk memainkan peranan dengan baik.
“Sehubungan itu, GAKUM mendesak supaya satu reformasi menyeluruh dilaksanakan terhadap syarikat-syarikat pegangan universiti awam yang tidak kompeten dalam mencapai matlamat asal penubuhannya khususnya ke arah memperkukuh kemampanan kewangan universiti,” katanya.
Norsyahriman berkata, peneraju utama syarikat pegangan universiti awam perlu memacu syarikat berkenaan ke arah penjanaan pendapatan, berdaya saing, mengoptimumkan aset serta memastikan setiap inisiatif dan keputusan perniagaan memberikan pulangan nyata kepada universiti.
Menurutnya, kegagalan mencapai sasaran ditetapkan tidak wajar dibiarkan berlarutan dan perlu disusuli tindakan pembetulan yang segera, tegas serta berakauntabiliti.
“GAKUM memandang serius isu ini kerana syarikat pegangan universiti awam seharusnya tidak hanya dilihat sekadar sebagai entiti korporat yang wujud secara pentadbiran, sebaliknya mesti berfungsi sebagai instrumen strategik yang memberikan nilai tambah yang jelas kepada universiti,” katanya.
Beliau berkata, antara langkah dicadangkan GAKUM termasuk audit prestasi dan kewangan secara menyeluruh serta berkala, penilaian semula modal dan model perniagaan serta penilaian semula semua aset universiti yang diletakkan di bawah pengurusan syarikat pegangan.
Menurutnya, cadangan lain termasuk semakan struktur tadbir urus dan pelantikan ahli lembaga pengarah selain penetapan petunjuk prestasi utama yang jelas serta telus.
Selain itu, katanya, turut dicadangkan pelaporan prestasi secara berkala kepada pihak berkepentingan dan pemegang taruh universiti.
“Besar harapan GAKUM supaya pihak kerajaan dan KPT sedaya yang mungkin merealisasikan reformasi syarikat pegangan universiti awam demi pengukuhan kemampanan kewangan universiti sekali gus berkeupayaan menjadikan warga universiti akan lebih gembira dan sejahtera.
“Universiti awam tidak boleh berterusan menanggung kos entiti korporat yang gagal memberikan nilai tambah yang setimpal dan berbaloi,” katanya.
Ahad lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan sudah membuka beberapa kertas siasatan berkaitan isu yang mengakibatkan kerugian dialami UiTM Holdings Sdn Bhd pada 2023.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman mengesahkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, Universiti Teknologi Mara (UiTM) perlu membuat penilaian semula secara menyeluruh terhadap struktur tadbir urus serta pengurusan anak syarikatnya, UiTM Holdings berikutan prestasi kewangan syarikat berkenaan yang mencatatkan kerugian.
© New Straits Times Press (M) Bhd




