Mayat wanita warga emas ditemui terapung di kolam tadahan

Mayat wanita warga emas ditemui terapung di kolam tadahan

am@hmetro.com.my

Shah Alam : Mayat seorang wanita warga emas ditemui terapung di sebuah kolam tadahan air hujan di Seksyen U11, Bukit Bandaraya di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan penemuan mayat itu kira-kira jam 11.30 pagi daripada orang awam yang sedang memancing di kolam berkenaan.

Beliau berkata, susulan itu sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam bersama pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan dan membawa keluar mayat mangsa.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa adalah seorang wanita warga tempatan berusia lingkungan 70-an dan dipercayai penduduk yang tinggal di taman berhampiran lokasi kejadian.

“Pemeriksaan lanjut juga mendapati mangsa sudah meninggal dunia lebih 48 jam sebelum ditemui,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pada hari sama kira-kira jam 6 petang, pihak polis dihubungi ahli keluarga mangsa yang memaklumkan wanita berkenaan adalah kakak mereka dan tinggal bersendirian di kawasan berhampiran.

Katanya, proses bedah siasat dijalankan pada jam 9 pagi, Rabu di Hospital Shah Alam dan dihadiri ahli keluarga bagi tujuan pengecaman.

“Identiti mangsa disahkan dan jenazah sudah dituntut oleh pihak keluarga. Punca kematian masih menunggu laporan lengkap makmal,” katanya.

Ramsay berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Jelasnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Izzman Mohd Idrus di talian 013-400 3355.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top