NAMPAK manis dan sering mengukirkan senyuman. Namun siapa sangka dibalik raut wajah yang tenang, pempengaruh dan juga aktivis kemanusiaan, Farah Lee, memendam emosi yang dalam ketika turun ke wilayah konflik untuk memberikan bantuan kemanusiaan.
Jelas Farah atau Nurfarahin Romli, walaupun tidak pernah benar-benar menyaksikan letupan bom atau serangan yang mengorbankan puluhan nyawa di hadapan mata, namun cerita yang didengar pasca perang daripada korban terlibat cukup dahsyat hingga membedil jiwanya yang paling kental.
Bercerita mengenai misi yang paling menghiris perasaan dan mencabar, Farah yang juga aktivis Global Sumud Flotilla mengakui tidak dapat melupakan impak Misi Ramadan di Syria yang dilakukannya kira-kira dua tahun lalu sehingga memberi kesan kepada minda bawah sedar dan mimpinya.
“Ada kesan gangguan tekanan pasca trauma ketika saya melakukan misi di Syria terutama dari segi kesihatan. Balik daripada misi Gaza tempoh hari juga, saya tak dapat tidur.
“Apabila saya akhirnya terlena, saya akan bermimpi perkara yang pelik-pelik, ganas, bunuh dan berdarah-darah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Paling menyayat hati, trauma tersebut turut mengheret memori terhadap arwah bapanya, Romli Ismail, ke dalam alam bawah sedar yang menakutkan. Dalam satu mimpi ngeri, Farah melihat arwah bapanya menjadi mangsa kekejaman, berlumuran darah dan dibunuh di depan mata sedangkan arwah meninggal akibat sakit jantung.
“Saya terjaga dalam keadaan terkejut dan menangis semahunya. Walaupun saya tahu itu hanya mimpi dan arwah ayah meninggal dunia kerana sebab lain, namun kesan emosi itu tetap terasa benar,” jelasnya.
Bagaimanapun jelas Farah, trauma yang dihadapinya itu tidak boleh menandingi apa yang pernah dilalui mangsa peperangan.
“Bayangkan saya jadi begitu hanya sebab dengar cerita mereka. Tapi bayangkan mereka di sana yang lalui pengalaman itu, otak pecah, kutip otak anak dan sebagainya.
“Saya harap cerita ini boleh menjadikan kita lebih mempunyai rasa empati tentang keadaan orang lain,” tambahnya.
Bagaimanapun, trauma itu bukanlah satu-satunya tamparan yang dibawa pulang. Farah turut berdepan dengan perasaan bersalah atau survivor’s guilt. Ada masanya, dia berasa gagal apabila bantuan yang dibawa tidak mampu menampug untuk semua orang yang memerlukan.
“Bayangkan, ketika sedang menghulurkan bantuan, datang pula seorang mak cik dari kampung sebelah merayu meminta tolong buat anaknya. Namun, bekalan yang ada ada batasnya. Perasaan “aku gagal” itulah yang sering menghantui perjalanan saya sampai ke tanah air,” katanya.
Ditanya mengenai caranya berhadapan dengan PTSD, Farah mengakui tidak ada berhubung dengan mana-mana pakar terapi namun percaya kepada cara tersendiri untuk menangani gangguan itu.
“Saya akan tutup telefon, rehat dan tidur sepuasnya. Saya hanya akan berjumpa dengan orang yang saya rasa selamat sahaja untuk memulihkan semula tenaga dalaman saya.
“Kalau saya ada masa ‘rehat’ saya akan layan lama perasaan itu. Syukur sekarang misi bantuan saya sentiasa penuh, jadi trauma lalu tak terlalu beri kesan kepada emosi saya.
“Cuma saya ada cuti dua minggu tempoh hari sebab demam saya tak pulih. Terpaksa ambil vitamin dan sebagainya,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Farah dijadualkan terbang ke Aceh untuk misi bantuan banjir, diikuti dengan misi di Laos untuk membantu komuniti Muslim di sana. Segala gerak kerja ini digerakkan di bawah NGO miliknya sendiri, FL Childrity.
“Saya memberi fokus kepada anak-anak sebab latar pendidikan saya pun tentang pengajian kanak-kanak. Kita cuma beri permainan, pada kita mungkin nampak kecil.
Tapi bagi mereka, ia adalah satu isyarat bahawa ada orang yang cakna tentang mereka. Mereka rasa tidak keseorangan melalui apa yang mereka lalui itu,” katanya.




