am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mencadangkan supaya pemasangan kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) dilakukan di laluan berisiko tinggi dan lokasi kerap berlaku kemalangan atau di negeri ini.
Pengarahnya, Zamri Samion berkata, langkah itu bagi menurunkan kadar kelajuan kenderaan selain meningkatkan tahap pematuhan pengguna jalan raya terhadap peraturan ditetapkan.
Katanya, selain pemasangan kamera, penambahbaikan fasiliti di laluan berisiko seperti pemasangan jalur bergetar (‘rumble strip’) juga perlu diberi perhatian untuk mengurangkan kadar kelajuan kenderaan sekali gus meminimumkan risiko nahas.
“Kami di peringkat JPJ, mungkin boleh cadangkan pemasangan kamera AWAS di laluan yang kita lihat berisiko tinggi dan menjadi ‘black spot’ kemalangan.
“Langkah lebih berkesan perlu diambil bagi menurunkan kadar kelajuan kenderaan di kawasan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tragedi menyayat hati yang meragut nyawa seorang penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Syakirah Hanan Mazli, 25, pada Isnin lalu.
“Melihat kepada tragedi yang berlaku, semua pihak perlu melakukan sesuatu bagi memastikan kejadian sama tidak berulang,” katanya.
Dalam kejadian Isnin lalu, Syakirah Hanan, yang memandu Perodua Viva meninggal dunia di tempat kejadian selepas kenderaannya dirempuh sebuah Honda Jazz di persimpangan lampu isyarat Jalan Kemajuan, di sini.
Berdasarkan siasatan awal dan rakaman kamera papan pemuka, kenderaan itu dipercayai merempuh kereta dipandu mangsa ketika bergerak selepas lampu isyarat bertukar hijau.
Kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
© New Straits Times Press (M) Bhd




