KERAJAAN menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) akan menanggung sepenuhnya kos rawatan dan perubatan atlet angkat berat negara, Muhammad Hafizuddin Roslin yang mengalami kecederaan serius dalam kemalangan jalan raya Isnin lepas.Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, tanggungan itu merangkumi rawatan susulan serta penginapan di wad sehingga atlet berkenaan dibenarkan keluar dari Hospital Kuala Lumpur, manakala elaun latihannya akan diteruskan seperti biasa berdasarkan kadar kelayakan semasa.Beliau berkata, semakan MSN menerusi Sekretariat Kerjaya dan Pendidikan Atlet (MACE) turut mendapati pemenang pingat emas kategori 88 kilogram (kg) lelaki Sukan Komanwel Glasgow 2026 itu layak menerima manfaat polisi insurans dianggarkan berjumlah RM120,000.”Beliau juga layak menerima faedah di bawah Skim Lindung 24 Jam PERKESO. Berdasarkan anggaran PERKESO, beliau akan menerima Faedah Hilang Upaya Sementara sebanyak RM50.40 sehari sepanjang tempoh cuti sakit.”Ia diikuti Faedah Hilang Upaya Kekal sebanyak RM915.84 sebulan seumur hidup, serta bayaran pukal sekali gus sebanyak RM39,060.58. Beliau turut layak menerima Faedah Perubatan serta kemudahan Pemulihan Jasmani dan Vokasional,” katanya dalam kenyataan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada Rabu.Dr Mohammed Taufiq berkata, MSN turut menyediakan kemudahan penginapan dan makan di Casa MSN, Bukit Jalil di sini, atau lokasi lain bersesuaian bagi memudahkan keluarga menemani Muhammad Hafizuddin sepanjang tempoh rawatan di hospital.Beliau berkata, MSN juga akan meneliti bentuk bantuan dan sokongan jangka panjang bersesuaian, termasuk aspek pemulihan, kaunseling serta peluang masa depan bagi memastikan kebajikan atlet itu terus terpelihara.Mengenai keadaan terkini Muhammad Hafizuddin, beliau berkata, atlet kelahiran Perlis berusia 22 tahun itu berada dalam keadaan baik dan kuat semangat ketika menziarahinya di HKL hari ini.Beliau turut memohon orang ramai menghormati privasi Muhammad Hafizuddin dan keluarga sepanjang tempoh ini.Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat sebelum ini dilaporkan berkata, Muhammad Hafizuddin telah selesai menjalani pembedahan, namun tangan kanannya terpaksa dipotong bagi mengelakkan komplikasi serius yang boleh mengancam nyawanya.Muhammad Hafizuddin dipercayai terbabas ketika menunggang motosikal di Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) kira-kira 11 malam Isnin lepas sekali gus menyebabkan beliau mengalami kecederaan pada bahagian kaki, bahu dan kepala.Berdasarkan pemeriksaan awal, beliau turut mengalami komplikasi hematoma pada bahagian bahu kanan. – Bernama
Kerajaan tanggung sepenuhnya kos rawatan Muhammad Hafizuddin, elaun latihan diteruskan
Malay News | https://www.malay.news/kerajaan-tanggung-sepenuhnya-kos-rawatan-muhammad-hafizuddin-elaun-latihan-diteruskan/