am@hmetro.com.my
Melaka: Enam lelaki direman antara satu hingga empat hari bagi membantu siasatan kes rusuhan di Melaka Raya, semalam.
Perintah tahanan reman ke atas suspek berusia lingkungan 20-an hingga 40-an itu dikeluarkan Majistret N Sivashangari di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Seorang suspek direman selama empat hari sehingga 12 Januari, manakala lima lagi direman sehari.
Mereka disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 kerana memiliki serta mengimport senjata tiruan, Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Media semalam melaporkan rasa tidak puas hati terhadap pemilihan lagu ketika berkumpul sambil minum arak, dipercayai punca rusuhan berlaku.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit dilapor berkata, kejadian berlaku kira-kira 4 pagi dan polis turut merampas sepucuk pistol disyaki tiruan daripada seorang suspek.
© New Straits Times Press (M) Bhd



