'Boboi' tetap pulang bila lapar

'Boboi' tetap pulang bila lapar

am@hmetro.com.my

Temerloh: Seekor memerang jinak dikenali sebagai Boboi mencuri perhatian apabila hidup bebas tanpa dikurung, namun tetap pulang sendiri ke sangkar setiap kali lapar, selain bersifat mesra dan tidak agresif terhadap manusia.

Pemilik Boboi, Mohd Fadli Ahmad, 37, berkata, memerang itu ditemuinya ketika masih kecil di sebuah pulau pasir di tengah Sungai Pahang ketika air sungai surut.

Katanya, ketika itu dia sedang menjala ikan sebelum ternampak anak memerang bersendirian dan dipercayai ditinggalkan ibunya, lalu timbul rasa kasihan untuk membawanya pulang bagi dijaga sementara.

“Keistimewaan Boboi ialah sifatnya yang sangat jinak dan tidak menggigit kerana dibela sejak kecil serta sudah biasa dengan kehadiran orang di sekelilingnya,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, Boboi tidak pernah dikurung dan dilepaskan bebas, namun setiap kali lapar, memerang itu akan pulang sendiri ke kawasan sangkar di rakit.

“Saya lepaskan Boboi kerana memerang adalah haiwan dilindungi dan tidak wajar dipelihara secara tertutup,” katanya.

Mohd Fadli berkata, proses menjinakkan Boboi bermula sejak kecil apabila dibesarkan dalam persekitaran yang sentiasa ada manusia, selain diberi makan secara konsisten seperti ikan patin dan talapia.

Menurutnya, Boboi sering muncul bermain di kawasan yang terdapat ramai orang dan akan pulang semula ke rakit sangkar apabila kawasan itu mulai lengang, selain tidur awal sebelum keluar semula ke sungai.

Mengulas cabaran, beliau berkata, gangguan memerang liar menjadi ancaman utama kerana boleh menyebabkan Boboi lari jauh sehingga sukar mencari jalan pulang.

“Ada kalanya saya terpaksa mencarinya dengan bantuan rakan nelayan di sepanjang Sungai Semantan. Apabila namanya dipanggil, Boboi akan mengikut bot untuk pulang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top